KUALA LUMPUR, 23 Nov – Pengarah Komunikasi Barisan Nasional Selangor, Datuk Seri Jamal Md Yunos hari ini menegaskan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong sepatutnya berundur dan meletak jawatan.
Beliau mengulas desakan desakan MCA terhadap Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi untuk berundur.
“Kenyataan Wee Ka Siong tidak ada adab, semalam mereka ada mesyuarat dan hari ini terus keluar kenyataan (desak Zahid letak jawatan),” katanya di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC).
Menurut beliau, Ketua-ketua bahagian UMNO akan berhimpun di Riverside pada pukul 3 petang, esok.
“Perjumpaan (esok) untuk minta Wee Ka Siong berundur. Jadi, apa ada dengan MCA pada hari ini?” ujar beliau.
Terdahulu, MCA mendesak Zahid untuk meletak jawatan berikutan kandungan surat yang tular pada hari ini adalah bertentangan dengan keputusan mesyuarat Dewan Tertinggi BN, semalam.
Dalam pada itu, Jamal menegaskan kesemua calon Barisan Nasional telah menandatangani surat persetujuan semasa dicalonkan untuk bertanding dalam Pilihanraya Umum ke-15/
“Apa yang mereka katakan presiden menipu, mereka sebenarnya yang menipu,
“Kerana ketika mereka ditawarkan jadi calon mereka menanda tangani surat persetujuan untuk menyerahkan segala hak kepada presiden untuk menentukan semua itu,” tegasnya. – airtimes.my