TEHRAN, 1 MAC – Pemimpin Tinggi Iran, Ali Khamenei disahkan terkorban dalam serangan udara yang dilancarkan oleh Amerika Syarikat dan Israel.
Pengesahan ini sekaligus menutup spekulasi keadaan semasa individu berprofil tinggi dalam kepimpinan Iran itu.
Berita kematian pemimpin paling berkuasa di Iran itu diumumkan secara rasmi oleh Agensi Berita Republik Islam (IRNA). Stesen televisyen di Iran turut menyiarkan pengumuman berita kematian bekas Presiden Iran itu secara langsung.
“Sesungguhnya kita milik Allah dan kepada-Nya kita kembali. Pemimpin Tertinggi Revolusi telah syahid,” lapor IRNA dalam satu siaran tergempar yang dikeluarkan pada awal pagi Ahad.
Susulan pengesahan rasmi tersebut, Kabinet Republik Islam Iran telah bersidang serta merta dan meluluskan protokol kecemasan negara yang paling tinggi. IRNA melaporkan bahawa pihak kerajaan telah mengisytiharkan penutupan penuh operasi pentadbiran negara.
“Kabinet pada awal pagi Ahad mengumumkan 40 hari berkabung dan 7hari cuti umum di seluruh negara berikutan syahidnya Ayatollah Khamenei, Pemimpin Tertinggi Revolusi Islam akibat serangan rejim Zionis dan Amerika Syarikat,” jelas agensi berita Iran tersebut.
Sejurus selepas pengumuman rasmi mengenai kematian Khamenei dibuat, kesemua rangkaian televisyen negara Republik Islam itu telah menghentikan siaran biasa mereka. – airtimes.my
