DUBLIN, 28 MEI – Ireland secara rasmi melarang import barangan dari penempatan haram Israel di wilayah Palestin yang diduduki selepas meluluskan rang undang-undang baharu pada Selasa, menjadikannya antara negara pertama di dunia Barat yang mengambil tindakan undang-undang tegas terhadap isu ini.
Penggubalan undang-undang tersebut dilaksanakan susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) mendapati pendudukan Israel di Tebing Barat, Gaza dan Baitulmaqdis Timur adalah tidak sah dan bercanggah dengan undang-undang antarabangsa.
Ireland menjadikan pendirian ICJ itu sebagai asas dalam menetapkan langkah terkininya.
“Kerajaan bersetuju untuk memajukan undang-undang yang melarang perdagangan barangan dengan penempatan haram di wilayah Palestin yang diduduki. Pandangan kerajaan bahawa ini adalah kewajipan di bawah undang-undang antarabangsa,” kata jurucakap Kementerian Luar Ireland, lapor media antarabangsa.
Larangan tersebut merangkumi barangan dari penempatan Israel yang berada di luar sempadan yang diiktiraf secara rasmi oleh komuniti antarabangsa, termasuk produk pertanian dan komersial.
Menteri Luar merangkap Timbalan Perdana Menteri Ireland, Simon Harris berkata, beliau berharap agar langkah ini menjadi pemangkin kepada perubahan lebih luas di peringkat serantau dan antarabangsa.
“Apa yang saya harapkan hari ini negara kecil di Eropah ini membuat keputusan dan menjadi salah satu negara pertama, dan mungkin negara pertama di dunia Barat untuk mempertimbangkan perundangan dalam ruang ini. Saya berharap ia memberi inspirasi kepada negara Eropah lain untuk menyertai kami,” tambahnya.
Mengulas lanjut, tindakan ini turut menggambarkan perubahan ketara dalam dasar luar Ireland terhadap isu Palestin. Pada Mei lalu, Ireland bersama Sepanyol, Norway dan Slovenia telah mengiktiraf negara Palestin sebagai sebuah entiti berdaulat. Presiden Perancis Emmanuel Macron juga mengisyaratkan, Paris mungkin akan mengambil langkah sama seawal Jun.
Langkah Ireland itu hadir hanya seminggu selepas Kesatuan Eropah mengumumkan semakan semula terhadap Perjanjian Persatuan EU–Israel yang telah dimeterai sejak 1995 dan berkuat kuasa pada tahun 2000. Perjanjian tersebut menjadi asas utama kepada hubungan politik dan ekonomi kedua-dua pihak, merangkumi perdagangan bebas, pelaburan, pendidikan, penyelidikan dan kerjasama keselamatan.
Melalui perjanjian ini, Israel menikmati akses istimewa ke pasaran EU, yang kini merupakan rakan dagang terbesar bagi negara itu. Bagaimanapun, perjanjian ini dikritik kerana gagal mengecualikan produk yang dihasilkan di penempatan haram Israel, sekaligus mencetuskan kebimbangan mengenai kesahan undang-undang dan implikasi etika perdagangan tersebut.
Difahamkan, majoriti 27 negara anggota EU turut menyokong usaha menyemak semula perjanjian berkenaan sebagai sebahagian daripada tekanan diplomatik terhadap tindakan Israel di wilayah Palestin. -airtimes.my
#AirTimes #Global #Ireland #Israel #Import #ekonomi
