MANILA, 12 OKT – Ketegangan kembali meningkat di Laut China Selatan apabila kapal China dilapor menembak meriam air dan merempuh sebuah kapal agensi kerajaan Filipina berhampiran Pulau Pag-asa pagi tadi.
Jurucakap Pasukan Pengawal Pantai Filipina (PCG), Jay Tarriela berkata insiden berlaku sekitar pukul 9.15 pagi apabila kapal China Coast Guard (CCG) bernombor haluan 21559 melepaskan tembakan meriam air ke arah kapal BRP Datu Pagbuaya milik Biro Sumber Perikanan dan Akuatik (BFAR) yang sedang berlabuh di perairan tersebut.
Tiga minit kemudian, kapal yang sama dilapor bertindak merempuh bahagian belakang kapal Filipina itu menyebabkan kerosakan kecil namun tiada kecederaan dilaporkan.
Menurut Tarriela, tiga kapal BFAR termasuk BRP Datu Pagbuaya berada di kawasan itu bagi melindungi nelayan tempatan.
“Walaupun berdepan tindakan provokatif dan ancaman langsung, PCG dan BFAR kekal tegas dalam melindungi hak serta mata pencarian nelayan Filipina di Kepulauan Kalayaan. Kami tidak akan diintimidasi atau dihalau dari perairan kami sendiri,” katanya dalam kenyataan di platform X, hari ini.
Sementara itu, Komander PCG, Admiral Ronnie Gil Gavan menegaskan insiden tersebut tidak akan mematahkan semangat pasukannya untuk terus mempertahankan kedaulatan negara.
“Gangguan yang kami hadapi hari ini hanya mengukuhkan tekad kami. Nelayan Filipina bergantung kepada perairan ini dan tidak ada meriam air atau pelanggaran yang akan menghentikan kami daripada melaksanakan komitmen kepada Presiden Ferdinand Marcos untuk tidak menyerahkan walau seinci wilayah negara kepada mana-mana kuasa asing,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, China menuduh dua kapal Filipina “menceroboh secara haram” ke dalam perairan berhampiran Tiexian Jiao yang didakwa sebagai sebahagian daripada Kepulauan Nansha Qundao miliknya.
Jurucakap CCG, Liu Dejun mendakwa kapal Filipina berkenaan mengabaikan amaran keras dan menghampiri kapal China secara berbahaya hingga menyebabkan pelanggaran.
“CCG telah mengambil langkah kawalan yang perlu dan mengusir kapal Filipina itu secara profesional dan sah menurut undang-undang,” katanya seperti dilapor media rasmi China.
Beijing turut menuduh Manila melanggar kedaulatan wilayah dan menjejaskan kestabilan rantau ini, namun Filipina menolak dakwaan itu dan menyifatkan tindakan China sebagai satu lagi bentuk pencerobohan agresif.
Kedua-dua negara mempunyai tuntutan bertindih di Laut China Selatan, laluan perdagangan penting dunia yang menjadi titik panas perebutan wilayah di rantau ini. – airtimes.my
