TEL AVIV, 9 OKT – Peserta misi Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens Flotilla (TMTG) mendakwa mereka mengalami penderaan fizikal serta layanan tidak berperikemanusiaan selepas kapal mereka dipintas secara tidak sah oleh tentera laut Israel pada awal pagi Rabu, 8 Oktober.
Menurut kenyataan pertubuhan hak asasi Adalah – The Legal Center for Arab Minority Rights in Israel, kira-kira 100 daripada 145 peserta flotilla telah menerima khidmat perundangan daripada peguam mereka pada Rabu malam dan awal Khamis waktu tempatan.
“Sebahagian peserta melaporkan dipukul, ditendang, ditampar, ditarik rambut dan digari dalam keadaan menyakitkan. Ada yang dipaksa berlutut dengan kepala tunduk selama berjam-jam di bawah panas matahari,” menurut kenyataan itu.
Adalah turut menyatakan bahawa beberapa tahanan mendakwa dipaksa mengucapkan kata-kata penghinaan terhadap diri sendiri atau negara asal mereka, termasuk memuji Israel secara paksa.
Selepas proses pemeriksaan di Pelabuhan Ashdod, kebanyakan tahanan telah dibawa ke Penjara Ktzi’ot, sebuah kemudahan yang terkenal dengan keadaan keras dan dilaporkan sering berlaku penderaan terhadap banduan.
Menurut Adalah, tiga peserta berwarganegara Israel kini ditahan untuk siasatan lanjut oleh polis dan dijangka dihadapkan ke mahkamah di Ashkelon hari ini.
“Beberapa wakil parlimen asing dipercayai telah diusir lewat malam Rabu atau awal pagi Khamis. Kami sedang mendapatkan pengesahan lanjut daripada pihak berkuasa Israel,” kata Adalah.
Peguam pertubuhan itu kini berada di Penjara Ktzi’ot dan mahkamah bagi mengikuti prosiding serta menuntut akses penuh kepada baki lima peserta flotilla Global Sumud yang masih ditahan.
Kapal flotilla tersebut ditahan ketika dalam pelayaran menuju ke Semenanjung Gaza bagi menghantar bantuan kemanusiaan, sebelum ditunda ke Pelabuhan Ashdod oleh tentera laut Israel. – airtimes.my
#AirTimesNews #Global #FreedomFlotilla #Gaza #Israel #Palestin #HakAsasiManusia
