Kempen Pilihan Raya Presiden Indonesia (Pilpres) menyaksikan bagaimana perolehan pertahanan dan strategi dibuat kerajaan sedia ada dikecam.
Isu perolehan menjadi modal politik dalam kempen Pilpres apabila Menteri Pertahanan, Prabowo Subianto yang juga calon presiden bertanding dibidas lawannya.
Hangat diperkatakan ialah berhubung keputusan kerajaan menangguhkan cadangan membeli pesawat pejuang terpakai Mirage 2000-5 kepunyaan Qatar atas faktor kewangan.
Penangguhan tersebut diputuskan oleh kementerian pertahanan dan kementerian kewangan walaupun keperluan mendapatkan pesawat tersebut mendesak.
Keputusan untuk menangguhkan pembelian Mirage dibuat walaupun Presiden Joko Widodo telah meluluskan peningkatan 20 peratus dalam perbelanjaan pertahanan hingga akhir 2024 untuk menaik taraf perkakasan tentera kepada AS$25 bilion.
Dua pencabarnya, bekas gabenor Jakarta Anies Baswedan dan Ganjar Pranowo masing-masing mengecam keputusan Prabowo untuk mendapatkan 12 buah pesawat terpakai yang telah pun berusia 26 tahun.
Prabowo, bekas Leftenan Jeneral dan juga mantan Komander Kostrad, mendahului tinjauan pendapat untuk pilihan raya pada 14 Februari depan.
Bagaimana pun, usaha pemodenan ketenteraan beliau mendapat kritikan dalam pertemuan kedua antara tiga calon Pilpres yang tertumpu pada isu keselamatan dan geopolitik.
Tahun lalu Indonesia bersetuju mendapatkan pesawat tempur Mirage 2000-5 dengan kos dianggarkan kira-kira AS$792 juta yang akan
diterima dalam tempoh setahun.
Pembelian ini sebagai penggunaan sementara (gap filler) sebelum Indonesia menerima sebahagian daripada 42 buah pesawat Dassault Rafale yang dibeli pada 2022 dengan harga AS$8.1 bilion.
Dalam mempertahankan keputusan pembelian berkenaan, Prabowo bertegas bahawa berlaku salah faham atas keputusan itu kerana bukan faktor usia pesawat yang diambil kira tetapi jam penerbangan.
Ini kerana katanya, pesawat Mirage 2000-5 itu masih mempunyai baki tempoh jam penerbangan yang banyak untuk digunakan sekurang-kurangnya 15 tahun lagi.
Gap filler ini membolehkan pesawat-pesawat tempur sedia ada melaksanakan program selenggaraan atau naik taraf tanpa mengganggu pesawat untuk tugasan.
Republik itu mengoperasikan 16 pesawat Sukhoi varian SU-27 dan SU-30MK manakala pesawat F-16 Fighting Falcon yang dimiliki sebanyak 33 buah.
Ini termasuk 24 buah pesawat F-16 terpakai bekas kepunyaan Tentera Udara Amerika Syarikat yang diterima pada 2014.
Pada masa sama perolehan pesawat tempur terpakai ini dilihat sebagai opsyen terbaik buat Indonesia kerana mempunyai wilayah maritim yang sangat luas.
Indonesia sepertimana negara-negara serantau lain turut berdepan dengan isu keselamatan di Laut China Selatan.
Sejak menjawat Mehan di bawah pentadbiran Presiden Jokowi pada 2019, Prabowo dilihat memberi perhatian tinggi dalam perolehan aset-aset baharu.
Dalam senarai, Indonesia akan menerima dron dari Turkiye, helikopter pengangkut Sikorsky UH-60 Black Hawk dan pesawat tempur termoden, F-15 Eagle Fighter yang mana varian republik itu akan dikenali sebagai F-15 IDN.
Melihat kempen Pilpres mengingatkan kita bagaimana isu perolehan Angkatan Tentera Malaysia turut menjadi modal politik semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 lalu.
Ketika itu isu kelewatan menyiapkan kapal tempur pesisir pantai (LCS) Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) hebat menghentam kerajaan semasa yang dikaitkan dengan penyalahgunaan kuasa.
Beberapa bulan sebelum PRU-15, pihak pembangkang galak melempar pelbagai tuduhan, malah mendesak projek LCS dibatalkan atas alasan merugikan wang rakyat.
Begitu juga perolehan kapal selam Scorpene yang menjadi modal politik parti-parti lawan sejak tahun 2009 apabila dikaitkan dengan pemimpin berpengaruh.
Lebih teruk lagi apabila sehingga hari ini masih ada yang percaya bahawa kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam selain merupakan pembelian aset pertahanan paling merugikan negara. – airtimes.my


