Home Pertahanan dan Keselamatan Graduan West Point teraju pemerintahan Divisyen Keempat Infantri Malaysia

Graduan West Point teraju pemerintahan Divisyen Keempat Infantri Malaysia

by Zaki Salleh

KUALA LUMPUR 11 DIS – Tampuk pemerintahan formasi Divisyen Keempat Infantri Malaysia (4 Divisyen) kini diterajui Mej Jen Dato’ Ts. Reizal Arif Tan Sri Ismail yang secara rasminya mengambil alih tanggungjawab tersebut.

Penyerahan jawatan tersebut diadakan dalam adat istiadat ketenteraan di Padang Kawad Batalion Pertama Rejimen Renjer Diraja (1 RRD), Kem Wardieburn di sini.

Pemangku sebelum ini, Panglima Briged Ke-12 Infantri Malaysia (12 Briged), Brig Jen Sani S Omar menyerahkan tongkat kuasa kepada Reizal Arif sebagai simbolik penyerahan pada 5 Disember 2023.

Beliau memangku jawatan itu apabila penyandangnya sebelum ini, Allahyarham Mej Jen Dato’ Anuar Abdul Wahab kembali ke rahmatullah pada 13 November lalu.

Upacara serah terima tugas tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Medan Barat Tentera Darat (PMB TD), Lt Jen Dato’ Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri.

Perbarisan melibatkan 16 pegawai dan 380 anggota semua formasi dan pasukan bawah naungan 4 Divisyen diketuai Timbalan Komander Rejimen 502 Askar Wataniah, Lt Kol Afzanizan Ismail.

Turut hadir pada acara tersebut adalah Panglima 2 Briged, Brig Jen Dato’ Pahlawan Asri Shukor dan Ketua Staf Markas 4 Divisyen, Kol Azman Zainudin.

Reizal Arif, 51, sebelum ini merupakan Ketua Staf Am Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (MK PMTTD).

Bekas Pengarah Pengurusan Latihan Markas Pemerintahan Latihan dan Doktrin Tentera Darat (MK PLDTD) ini juga pernah menjawat sebagai Panglima 4 Bgd Mekanize.

Beliau juga pernah dua kali dilantik mengetuai pasukan pengaman Malaysia di Lubnan iaitu sebagai Komander MALBATT 850-3 dan kemudiannya Komander MALBATT 850-4.

Pada tahun 2018, Reizal Ariff mencatat kejayaan tersendiri apabila menjadi graduan Akademi Tentera Amerika Syarikat (USMA), West Point pertama dari Malaysia yang dinaikkan ke pangkat Brigadier Jeneral.

Beliau merupakan graduan USMA bagi Kelas 1994. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply