Home Diskusi Kolumnis: Contohi PT Pindad Indonesia jadi gergasi pertahanan tembusi pasaran global

Kolumnis: Contohi PT Pindad Indonesia jadi gergasi pertahanan tembusi pasaran global

by Zaki Salleh

Pada Ogos tahun lalu, firma pertahanan Indonesia, PT Pindad (Persero) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan uji tembakan pada kereta kebal saiz sederhana, Harimau.

Harimau dibekalkan dengan meriam Cockerill kaliber 105mm. Kereta kebal ini merupakan program kerjasama antara PT Pindad dengan firma pertahanan Turkiye, FNSS.

Membangunkan Harimau bukan sekadar program sehari dua atau salin dan tampal, sebaliknya menggembleng tenaga kejuruteraan tempatan PT Pindad sejak lapan tahun lalu.

Kereta kebal seberat 30 tan ini juga mendapat pengesahan daripada Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Darat (TNI-AD) dan bakal memasuki inventori republik tersebut.

Ini juga adalah secebis daripada kejayaan yang telah ditempa oleh PT Pindad sebagai firma pertahanan bagi kelengkapan persenjataan darat yang unggul di Indonesia.

PT Pindad turut dikatakan bersaing untuk mendapatkan kontrak menggantikan kenderaan Radpanzer Condor Angkatan Tentera Malaysia menerusi kenderaan Anoa 6×6.

Anoa 6×6 dibangunkan pada tahun 2008 berasaskan kenderaan perisai VAB buatan Perancis tetapi dengan ciri-ciri lebih baik.

Kira-kira 14 tahun lalu, Anoa 6×6 juga bersaing untuk mendapatkan kontrak kenderaan perisai bagi tentera pengaman MALBATT di Lubnan yang ketika itu.

Lain-lain aset yang dibangunkan PT Pindad ketika ini ialah kenderaan taktikal Maung, Komodo dan kenderaan tempur/bantuan tembakan Badak 6×6.

Badak direkabentuk dan dibina secara usahasama antara PT Pindad dengan syarikat Cockerill Maintenance & Ingenierie SA Defence dari Belgium.

Tahun ini, PT Pindad bakal meraikan usia penubuhannya yang ke-41.

Walaupun sejarah awal kewujudan syarikat persenjataan ini bermula pada era 1950an, namun secara rasmi tarikh penubuhan PT Pindad dihitung mulai 29 April 1983 apabila ia dimilik negarakan.

Pindad adalah singkatan daripada Perindustrian TNI Angkatan Darat iaitu nama yang diperkenalkan pada 1962 menggantikan Pabrik Alat Peralatan Angkatan Darat (Pabal AD) pada 1958.

Mulai 1983, PT Pindad dijadikan syarikat negara bagi membolehkan ia melangkah lebih jauh dan bukan sekadar mengilangkan senjata untuk pihak tentera.

Sepertimana kebanyakan syarikat persenjataan kecil, PT Pindad mengeluarkan senjata secara kebenaran berlesen daripada firma asal selain mengilangkan pelbagai bahan letupan dan peluru untuk tentera Indonesia.

Pada tahun 1991, PT Pindad mengeluarkan raifal tempur SS1 yang dibina berasaskan senjata FN FAC buatan Belgium.

Selepas 15 tahun, PT Pindad menghasilkan senjata sendiri iaitu raifal tempatan pertama SS2-V 1.

Kini, senjata yang dihasilkan lebih moden iaitu SS2-V2 HB, SS2-V4 HB dan SS2-V4 A1.

Sejak tahun 2006, PT Pindad telah menjual senjata ke negara luar seperti Kemboja, Laos, Nigeria dan Emiriah Arab Bersatu.

Bukan sahaja senjata, malah PT Pindad turut mengeksport peluru kepada Korea Selatan, Singapura, Timor Leste, Laos dan Filipina dengan nilai eksport AS$5 juta setahun.

Sejak dua tahun lalu, pengurusan PT Pindad meletakkan sasaran untuk syarikat tersebut tersenarai dalam Senarai 100 Firma Pertahanan Global Tahun 2024 dengan menawarkan penyelesaian produk yang berkualiti tinggi serta mempunyai inovasi.

Hasrat itu dibuktikan apabila Indonesia membentuk satu entiti perniagaan dikenali sebagai Defence Industry Indonesia (DEFEND ID).

Bernaung di bawah DEFEND ID ialah PT Len Industri (Persero) sebagai induk dengan anak syarikatnya termasuklah PT Pindad.

Melihat pencapaian industri pertahanan negara jiran ini menimbulkan beribu persoalan, mengapakah perkara sama tidak berlaku di Malaysia.

Bukan bermakna kita tiada syarikat pertahanan, tetapi untuk membandingkan pencapaian syarikat pertahanan negara kita dengan di sana begitu jauh kemampuannya.

Mengapakah begitu?

#AirTimes #Pertahanan #Kolumnis #TeknologiPertahanan #PINDAD

Related Articles

Leave a Reply