Ketua UMNO Bahagian Paya Besar, Ahmad Tajuddin Sulaiman membuat kenyataan supaya Zahid berundur sebagai Presiden UMNO. Alasannya kerana Zahid tiada ketegasan dan membawa parti yang tiada halatuju. Sepatutnya MKT lebih tegas setelah majoriti UMNO Bahagian membuat usul supaya memutuskan hubungan dengan PPBM baru baru ini.
Namun begitu, 1 daripada 191 Ketua UMNO Bahagian membuat usul demikian bolehlah dianggap kes terpencil. Lagipun MKT telahpun membuat keputusan agar usul dari UMNO Bahagian dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO yang dijadualkan pada 30 – 31 Jan 2021.
PAU tidak dapat diadakan disebabkan oleh PKP dan pengisytiharan darurat. Sepatutnya Ketua Bahagian Paya Besar tersebut lebih memahami dikala rakyat berhempas pulas untuk mengharungi kehidupan yang sukar sekarang.
Berpada padalah dalam berpolitik dikala negara sedang mengalami musibah. Dikhuatiri rakyat menjadi mual dengan tingkah laku pemimpin politik yang tidak kena pada masanya.
Menggesa Presiden berundur bukanlah sikap terpuji bagi pemimpin Bahagian kerana Zahid telah memenangi jawatan tersebut pada pemilihan tahun 2018. Sebagai pemimpin yang telah dipilih oleh akar umbi parti, Zahid lebih memahami aspirasi akar umbi berbanding pemimpin diperingkat Bahagian.
Sebagaimana surat pekeliling dikeluarkan oleh SUA UMNO, Pemilihan parti pelbagai peringkat akan diadakan pada tahun ini dan besar kemungkinan pada Jun/ August 2021. Oleh yang demikian, semua ahli UMNO diharapkan bersabar, pilihlah pemimpin yang paling anda sukai apabila tiba waktunya nanti. Akurlah kepada kehendak majoriti ahli UMNO khususnya dan rakyat Malaysia keseluruhannya. – airtimes.my
Penulis merupakan penganalisis politik dan Pengerusi Biro Politik Majlis Perundingan Melayu.
PENAFIAN:
Air Times News Network tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Ia pandangan peribadi kolumnis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab kolumnis sendiri. Terima kasih.