KUALA LUMPUR, 8 OKT – Kerajaan Malaysia kini memantau rapat mengenai penahanan sembilan rakyat Malaysia daripada Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), oleh tentera Israel ketika menyertai misi kemanusiaan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG).
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Wisma Putra kini mengikuti perkembangan kes berkenaan dan bersedia mengambil tindakan sewajarnya melalui saluran diplomatik tertinggi.
“Saya percaya Insya-ALLAH pihak Wisma Putra sedang mengikuti isu ini dan bersedia mengambil tindakan-tindakan yang perlu, termasuk melalui diplomasi peringkat tertinggi serta hubungan kita dengan beberapa negara yang mempunyai hubungan diplomatik dengan Israel,” katanya.
Tambahnya, pihaknya masih akan meneliti beberapa maklumat lanjut mengenai nasib kesemua sukarelawan terbabit dan memproses dengan cara yang sama, namun menjangkakan menerima maklum balas lebih jelas menjelang program Himpunan Solidariti Flotilla Sumud Nusantara di Axiata Arena malam ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Pelantikan Anggota Majlis Penyeliaan dan Lembaga Pengelola Bernama di ibu negara, hari ini. -airtimes.my
#Airtimes #flotilla #TMTG #FFC #WismaPutra #Gaza #Malaysia
