WASHINGTON, 13 OKT – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengisytiharkan bahawa perang di Gaza telah berakhir ketika beliau dalam perjalanan menghadiri sidang gencatan senjata antarabangsa di Sharm el-Sheikh, Mesir.
“Perang sudah berakhir, faham?” kata Trump kepada wartawan di dalam pesawat Air Force One selepas berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Andrews di Maryland menuju ke destinasi pertamanya, Tel Aviv.
Trump menyatakan keyakinannya bahawa pelan damai 20 perkara yang diumumkan minggu lalu akan menjadi asas kepada gencatan senjata kekal di Gaza.
“Terdapat banyak sebab mengapa ia akan bertahan. Tapi saya fikir semua orang sudah letih dengannya. Ini bukan baru-baru ini, tapi sudah berlarutan berabad lamanya,” katanya.
Menurut beliau, pelan tersebut disusun dalam dua fasa utama bagi menamatkan konflik yang berlarutan lebih setahun.
Pelan itu merangkumi pembebasan semua tawanan Israel sebagai pertukaran dengan kira-kira 2,000 tahanan Palestin serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza.
Fasa kedua pula menekankan penubuhan badan pentadbiran baharu di Gaza tanpa penglibatan Hamas, penempatan pasukan multinasional dan pelucutan senjata kumpulan berkenaan.
Namun, pihak Israel belum mengeluarkan pengesahan rasmi berhubung status perang tersebut.
Trump dijadual mempengerusikan sidang damai bersama Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi yang akan disertai lebih 20 pemimpin dunia termasuk Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan; Presiden Perancis, Emmanuel Macron; Raja Jordan, Abdullah II; Raja Bahrain, Hamad bin Isa Al Khalifa; Perdana Menteri Britain, Keir Starmer; Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez; Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni; Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Canselor Jerman, Friedrich Merz.
Mesir dalam kenyataannya, memaklumkan sidang itu bertujuan memperkukuh usaha perdamaian dan membuka fasa baharu kestabilan serantau di Timur Tengah.
Media antarabangsa melaporkan lebih 67,000 rakyat Palestin terkorban sejak serangan bermula tahun lalu, sementara kebanyakan kawasan di Gaza kini musnah teruk dan tidak lagi sesuai didiami. -airtimes.my
#Airtimes #AmerikaSyarikat #DonaldTrump #Gaza #Israel #Palestin #GencatanSenjata #SharmElSheikh
