Keterjaminan keselamatan perairan amat penting, sebagai benteng pertama mempertahankan kedaulatan negara daripada ancaman luar. Terutama, risiko dan ancaman hari ini muncul dalam bentuk yang kompleks dan sukar dijangka. Perairan Malaysia yang kaya dengan hasil laut dan laluan perdagangan strategik pastinya menjadi perhatian pelbagai pihak.
Walaupun gelombangnya kelihatan tenang di permukaan, ia menyimpan pelbagai risiko yang tidak terlihat. Dari penyeludupan bahan api, pemerdagangan manusia hingga pencerobohan kecil, cabaran keselamatan maritim di timur Malaysia menuntut aset berkeupayaan tinggi.
Dalam konteks ini, kemasukan KM Bendahara ke dalam armada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menandakan langkah strategik dalam memperkukuh kawalan di perairan Sabah dan Sarawak.
Pelaburan strategik untuk keselamatan maritim
Kemasukan kapal yang merupakan bekas United States Coast Guard Cutter (USCGC) Steadfast (WMEC-623) yang diterima secara percuma daripada kerajaan Amerika Syarikat di bawah Program Excess Defence Articles (EDA) itu ditempatkan di Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pemerolehan ini bukan sekadar penambahan aset fizikal, tetapi mencerminkan strategi jangka panjang negara dalam menyeimbangkan pertahanan, keselamatan dan diplomasi maritim.
Malaysia memperoleh kapal ini berdasarkan prinsip “as is, where is”, iaitu tanpa kos pemrolehan baharu. Walau bagaimanapun, kerajaan menanggung kos bagi memastikan kapal tersebut berada dalam keadaan ‘safe to sail’, selamat untuk belayar ke Malaysia.
Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat menyatakan, jumlah kos yang dipersetujui ialah sebanyak USD7 juta (sekitar RM33 juta), termasuk peruntukan kontigensi maksimum 10 peratus atau USD700,000.
“Kos ini meliputi pemasangan alat navigasi dan komunikasi, yang tidak termasuk dalam pakej penyerahan kapal tersebut dan kos-kos lain seperti penilaian teknikal, latihan kru, pembaikan struktur, alat ganti, serta pengangkutan dan kerja menaik taraf lain sebelum dihantar ke negara ini,” jelasnya.
Tumpuan operasi di zon timur

Negara mencatat satu lagi detik bersejarah, apabila kapal bekas USCG Cutter Steadfast diserahkan secara rasmi kepada Malaysia dan dinamakan sebagai KM Bendahara. Foto: Marine Traffic
Perairan Sabah dan Sarawak secara tradisinya merupakan kawasan paling aktif dengan aktiviti rentas sempadan. Kedudukannya yang bersempadan rapat dengan selatan Filipina membuka ruang kepada kegiatan penyeludupan minyak, barangan kawalan dan senjata api.
Selain itu, ancaman terhadap pelantar minyak serta kepulauan kecil di Laut Sulu dan Laut China Selatan menjadikan rantau ini medan penting dalam menjaga kedaulatan negara. Kehadiran KM Bendahara yang tiba pada 6 November lalu, memperkukuh keupayaan pengawasan dan rondaan di kawasan berisiko tinggi seperti Lahad Datu, Sandakan dan Semporna.
“Kapal ini akan ditugaskan bagi memerangi jenayah rentas sempadan di samping berfungsi sebagai platform untuk mengurangkan tekanan daripada China Coast Guard (CCG) melalui pendekatan white hull diplomacy di kawasan perairan Laut China Selatan,” katanya dalam jawapan lisan di Dewan Rakyat.
Dengan panjang melebihi 90 meter serta ketahanan pelayaran (endurance) sehingga 14 hari tanpa ulang bekal, kapal ini mampu beroperasi lebih lama dengan bekalan bahan api dan air tawar mencukupi.
Keupayaan ini memberi kelebihan kepada APMM untuk meningkatkan bilangan hari operasi di laut, di samping memantau kawasan strategik yang sering menjadi sasaran aktiviti haram.
White hull diplomacy
Pendekatan diplomasi ini amat penting di Laut China Selatan, di mana Malaysia berpegang kepada prinsip undang-undang antarabangsa dalam menangani pertindihan tuntutan maritim. Kehadiran kapal ini melambangkan bahawa kedaulatan negara ditegakkan melalui disiplin dan undang-undang, bukan provokasi.
Pelantar minyak di luar pantai Sabah dan Sarawak bukan sekadar aset ekonomi, tetapi juga sasaran strategik yang perlu dilindungi. Kapal ini berperanan sebagai platform tindak balas awal sekiranya berlaku kecemasan atau ancaman keselamatan.
Dengan sistem komunikasi jarak jauh dan radar canggih, maklumat dapat disalurkan segera kepada aset berhampiran. Ini memastikan ancaman dapat ditangani dengan pantas sebelum menjejaskan keselamatan tenaga negara.
Kerjasama antara agensi

Menurut KDN, kapal itu akan dikemudi oleh 50 pegawai dan anggota APMM, yang telah menjalani latihan penyesuaian di laut selama dua bulan. Foto: U.S. Embassy Kuala Lumpur
Di pantai timur Sabah, kerjasama antara APMM, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Eastern Sabah Security Command (ESSCOM) menjadi tunjang utama keselamatan. APMM bertanggungjawab menguatkuasakan undang-undang maritim, TLDM memberi perlindungan strategik, manakala ESSCOM menyelaras keseluruhan operasi darat dan laut.
KM Bendahara menjadi platform penghubung ketiga-tiga agensi ini melalui sistem komunikasi moden dan perkongsian data masa nyata. Sinergi ini memastikan operasi lebih terlaras, mengelakkan pertindihan, dan meningkatkan kecekapan sumber.
Aset untuk masa depan
Penambahan KM Bendahara mencerminkan komitmen kerajaan terhadap pembinaan keupayaan maritim yang mampan. Ia bukan sekadar aset tambahan, tetapi langkah ke arah operasi bersepadu dan kendiri.
Dengan sokongan latihan kru, penyelenggaraan berjadual dan penggunaan teknologi pengawasan moden, kapal ini bakal menjadi contoh transformasi APMM sebagai agensi maritim utama negara.
Dalam konteks Pertahanan Menyeluruh (HANRUH), kapal ini mengukuhkan lapisan keselamatan maritim tanpa menonjolkan kekuatan bersenjata. Ia membuktikan bahawa kedaulatan dapat dipertahankan melalui kecekapan dan disiplin.
Lebih penting, kehadirannya memberi keyakinan kepda komunit nelayan, pekerja pelantar dan penduduk pesisir bahawa keselamatan mereka sentiasa terjaga.
KM Bendahara bukan sekadar kapal rondaan, tetapi lambang evolusi strategi maritim negara. Ia menggambarkan peralihan daripada tindak balas kepada pencegahan, daripada kebergantungan kepada keupayaan kendiri, selain menunjukkan kesungguhan Malaysia mempertahankan kedaulatan perairannya secara berwibawa dan bermaruah. -airtimes.my
#Airtimes #KMBendahara #APMM #kapal #maritim #keselamatan #USCGC #LCS #AmerikaSyarikat #Malaysia







