KUALA LUMPUR, 23 Dis – Kerajaan memutuskan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA), Muar, Johor mulai 24 Disember 2020 hingga 6 Januari 2021.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPD tersebut dilaksanakan setelah mendapat nasihat dan penilaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang mendapati risiko serta kadar kebolehjangkitan di kalangan Orang Kena Tahan (OKT) adalah tinggi.
“Pelaksanaan PKPD ini bertujuan untuk memudahkan saringan menyeluruh semua kontak rapat kes positif dijalankan (kalangan OKT dan kakitangan),
“Ia melibatkan seramai 773 tahanan dan 127 kakitangan,” katanya dalam kenyataan berkaitan perkembangan Perintah Kawalan pergerakan pemulihan (PKPP), hari ini.
Ismail Sabri menyatakan Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPD di pusat tahanan tersebut adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini antaranya, tiada pergerakan keluar masuk dan lawatan ahli keluarga adalah tidak dibenarkan.
Beliau berkata, sehingga kini, KKM telah melaksanakan 726 ujian saringan dan sebanyak 20 kes positif COVID-19 telah direkodkan dalam kalangan tahanan.
Pada masa yang sama, beliau menjelaskan, kerajaan bersetuju untuk menamatkan PKPD di Kondo Sierra East pada 23 Disember 2020.
PKPD yang sebelum ini dilaksanakan dikawasan tersebut ditamatkan berikutan tiada kes positif COVID-19 direkodkan setelah saringan pengesanan dilaksanakan terhadap penghuninya. – airtimes.my