Home Pertahanan dan Keselamatan Kerajaan bubar pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar

Kerajaan bubar pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar

by Jassmadi Jakariya

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=il0jUN_k3wg[/embedyt]

 

KUALA LUMPUR, 18 Dis – Tim Operasi STARLIGHT-5 Hospital Medan Malaysia Cox’s Bazar secara rasmi dibubarkan hari ini lebih awal dari tarikh yang dijadualkan pada Disember 2021.

Majlis pembubaran ini telah disempurnakan oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang TUDM di Wisma Perwira Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Dalam ucapannya, Affendi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada tim Op STARLIGHT-5 di atas komitmen dan pengorbanan yang telah disumbangkan dalam memastikan misi kemanusiaan ini dapat direalisasikan.

Menurut Affendi, Pihak kerajaan telah memutuskan untuk menamatkan pengoperasian Hospital Medan Malaysia pada tahun ini berbanding dengan mandat operasi yang sepatutnya tamat pada Disember 2021.

“Keputusan untuk menutup pengoperasian Hospital Medan Malaysia di Cox’s Bazar dilihat satu keputusan yang bijak terutamanya ketika seluruh dunia giat melawan COVID-19,

“Dengan kepulangan petugas perubatan Op STARLIGHT-5 ini, kepakaran dan pengalaman yang dimiliki mereka dapat dimanfaat dengan memastikan hospital-hospital ATM di seluruh negara dapat dioperasi sepenuhnya,

“Dalam pada itu, mereka ini juga dapat diaturgerak keseluruh negara sebagai petugas kesihatan untuk menangani penularan pandemik COVID-19 yang sedang menunjukkan trend peningkatan ketika ini,” katanya.

Manakala Bahagian Hal Ehwal Awam Markas Angkatan Bersama (MK AB) dalam kenyataan berkata, tim Op STARLIGHT-5 ini diketuai oleh Kolonel (Dr) Mohamed Zaki Mohamed Mokhtar yang dianggotai seramai 56 orang terdiri dari 19 pegawai dan 36 anggota lain-lain pangkat (LLP) serta seorang Jururawat Awam dari Kementerian Kesihatan.

“Tim Op STARLIGHT-5 telah diaturgerak ke Hospital Medan Malaysia Cox’s Bazar Bangladesh mulai Febuari 20 dan dijangka melaksanakan misi selama 6 bulan sehingga Ogos 20,

“Disebabkan penularan pandemik COVID-19 yang semakin meningkat di Cox’s Bazar, tim Op STARLIGHT-5 telah diarahkan kembali ke Malaysia pada Mac 2020,” ujarnya.

Dalam pada itu, penambahan 6 hospital medan di dalam kem pelarian kendalian kerajaan Turki dan NGO antarabangsa yang lain telah memberi banyak pilihan dan akses perkhidmatan kepada pelarian Rohingya serta penduduk tempatan yang secara langsung telah mengurangkan kebergantungan mereka kepada Hospital Medan Malaysia.

“Sepanjang 3 tahun beroperasi di Cox’s Bazar, hospital ini telah merawat lebih daripada 100,000 orang pesakit dan melaksanakan lebih 3500 pembedahan,” ujarnya.

Turut hadir, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Yazid Arshad TUDM – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply