GERIK, 17 Ogos – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini berkenan berangkat ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Bersia, bagi menyaksikan demonstrasi kesiapsiagaan Rejimen 70 Pakar Janaelektrik Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD).
Keberangkatan Sultan Nazrin selaku Kolonel Yang di-Pertua RAJD merupakan manifestasi keprihatinan Tuanku terhadap usaha dan peranan yang dilaksanakan Rejimen 70 dalam memastikan kesiapsiagaan tenaga elektrik negara, khususnya ketika berdepan krisis.
Kolonel (K) 70 RAJD Pakar (AW), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan memaklumkan, sempena keberangkatan tersebut, Tuanku turut menyaksikan demonstrasi pengambilalihan operasi stesen janakuasa ketika bencana alam oleh anggota 70 Rejimen.

Kolonel (K) 70 RAJD Pakar (AW), Datuk Ir Megat Jalaluddin Megat Hassan memaklumkan, keberangkatan Sultan Nazrin merupakan manifestasi keprihatinan Tuanku terhadap usaha dan peranan yang dilaksanakan Rejimen 70 Pakar Janaelektrik RAJD (AW). Foto: AirTimes/ZulFadhlie
“Dalam demonstrasi yang dipersembahkan hari ini, anggota Rejimen 70 telah melaksanakan simulasi gangguan operasi stesen janakuasa akibat aliran sungai terhalang oleh kayu balak susulan tanah runtuh atau bencana alam,
“Ia memperlihatkan satu demonstrasi kesiapsiagaan ataupun persediaan anggota sekiranya berlaku sesuatu krisis dan sudah tentu ini sebahagian daripada latihan kepada anggota Rejimen 70 itu sendiri,
“Dan ini dia buat secara live dan kita lihat anggota Rejimen 70 siap sedia dan mempunyai kemampuan dalam menghadapi sebarang krisis,” katanya kepada AirTimes.

Sultan Nazrin berkenan menyaksikan demonstrasi pengambilalihan pusat kawalan janakuasa elektrik oleh anggota 70 Rejimen Pakar Janakuasa RAJD (AW).
Menurut Megat, Rejimen 70 ditubuhkan dengan objektif utama membangunkan keupayaan (capability building) bagi memastikan bekalan elektrik negara sentiasa berada pada tahap terbaik, terutama ketika berlaku kecemasan.
“Maka setelah beberapa lama, kita dapati operasi pembekalan elektrik diambil oleh TNB, walau bagaimanapun sokongan daripada Rejimen 70 tentu sahaja amat bermakna, terutama dalam bentuk krisis untuk berlaku yang sesuatu krisis,
“Jadi, itu merupakan tujuan utama Rejimen 70 ditubuhkan atau memainkan peranan yang sedia ada,” ujarnya lagi.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat ke Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, Bersia, Gerik, hari ini.
Dalam masa yang sama, Datuk Megat turut menegaskan kepentingan kerjasama antara jurutera TNB, syarikat-syarikat pembekalan elektrik, dan Rejimen 70 dalam memastikan kesinambungan bekalan elektrik negara pada setiap masa.-airtimes.my
#airtimes #RAJD #janakuasa #TNB #Malaysia #Perak