Kuala Lumpur, 16 Julai – Tentera Darat Malaysia (TDM) telah mengadakan satu perbarisan istiadat sebagai penghargaan kepada dua pegawai kanan Kor Polis Tentera Diraja (KPTD), Brigedier Jeneral Muhammad Rafi Abdul Kadir dan Brigedier Jeneral Noor Hishmuddian Rahim, yang bakal menamatkan perkhidmatan dalam masa terdekat.
Majlis penuh tradisi ketenteraan itu berlangsung di Padang Kawad Pusat Latihan Polis Tentera (PULAPOT) sebagai simbol penghormatan terhadap jasa, khidmat bakti dan kepimpinan cemerlang kedua-dua pegawai sepanjang berkhidmat dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Acara ini turut menjadi pengiktirafan rasmi terhadap kepimpinan dan pengorbanan mereka, khususnya dalam memperkukuh sistem ketenteraan, memperkemas struktur organisasi serta meningkatkan tahap disiplin dan profesionalisme dalam KPTD.
Dalam ucapan mewakili dirinya dan Brigedier Jeneral Noor Hishmuddian, Brigedier Jeneral Muhammad Rafi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan yang diberikan oleh pucuk pimpinan TDM untuk memikul amanah sebagai tonggak kepimpinan tertinggi dalam KPTD.

Brigedier Jeneral Muhammad Rafi Abdul Kadir menyampaikan ucapan mewakili dirinya dan Brigedier Jeneral Noor Hishmuddian Rahim dalam majlis perbarisan penghargaan di Padang Kawad PULAPOT. Foto: Air Times
Beliau turut menyatakan bahawa hampir empat dekad perkhidmatan dalam ATM merupakan satu pengalaman yang amat berharga, penuh dengan pelbagai cabaran dan kenangan bersama rakan seperjuangan.
“Tempoh empat dekad ini bukanlah satu jangka masa yang singkat. Berbagai suka duka, pahit manis, jatuh bangun telah kami lalui yang semestinya memberikan pengalaman yang tidak ternilai,” katanya sambil mengimbau perjuangan mereka dalam membina dan memperkukuh institusi KPTD.
Beliau turut menyeru seluruh warga KPTD agar kekal bersatu hati dan terus menyokong kepimpinan yang ada demi memastikan kesinambungan perjuangan kor tersebut.
“Hari ini, walaupun kita kecil, kewujudan kita dirasa. Kita kuat, dan saya yakin selagi mana kita bersatu hati, selagi mana matlamat kita sama, insya-Allah KPTD ini akan terus mencapai kecemerlangan,” katanya lagi.
Majlis penghargaan itu turut diserikan dengan kehadiran Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim, yang menyampaikan ucapan penghargaan atas jasa dan sumbangan kedua-dua pegawai kanan KPTD.

Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Dato’ Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim menyampaikan ucapan semasa Perbarisan Penghargaan Pegawai Kanan Kor Polis Tentera Diraja di PULAPOT, Kuala Lumpur. Foto: Air Times
Dalam ucapannya, beliau merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Brigedier Jeneral Muhammad Rafi Abdul Kadir dan Brigedier Jeneral Noor Hishmuddian Rahim atas kepimpinan cemerlang yang ditunjukkan dalam pelbagai jawatan serta tugasan strategik sepanjang hampir empat dekad perkhidmatan mereka dalam Angkatan Tentera Malaysia.
“Atas nama Tentera Darat Malaysia, kami merakamkan jutaan terima kasih kepada Brigedier Jeneral Muhammad Rafi dan Brigedier Jeneral Noor Hishmuddian segala pengorbanan, kepimpinan dan khidmat bakti yang dicurahkan selama ini,” katanya.
Beliau menyatakan bahawa pemergian kedua-dua pegawai kanan ini merupakan satu kehilangan besar buat Kor Polis Tentera Diraja dan Tentera Darat secara keseluruhannya.
“Tentera Darat, khususnya seluruh warga Kor Polis Tentera Diraja bakal kehilangan dua pegawai kanan yang amat berwibawa, komited, dan menjadikan khidmat bakti sebagai tunjang kehidupan mereka demi agama, bangsa dan negara yang tercinta”, tambah beliau.
Beliau turut mendoakan agar kedua-dua pegawai terus melakar kejayaan dalam fasa kehidupan baharu selepas bersara, serta menegaskan bahawa Tentera Darat sentiasa mengalu-alukan kehadiran mereka dalam apa jua acara atau pertemuan akan datang sebagai sebahagian daripada keluarga besar ATM yang tetap dihormati.
Brigedier Jeneral Muhammad Rafi dijadualkan menamatkan perkhidmatan pada 6 Ogos 2025 selepas 39 tahun, 10 bulan dan 2 hari dalam perkhidmatan, manakala Brigedier Jeneral Noor Hishmuddian akan menamatkan perkhidmatan pada 13 Oktober 2025 setelah berkhidmat selama 42 tahun 2 bulan.

Barisan pegawai kanan Tentera Darat bersama warga Kor Polis Tentera Diraja yang menyertai perbarisan istiadat penghargaan bagi meraikan dua pegawai kanan KPTD yang bakal menamatkan perkhidmatan. Foto: Air Times
Majlis turut dihadiri oleh Panglima Briged Ke-11 Infantri Malaysia merangkap wakil rasmi Panglima Divisyen Ke-4 Infantri Malaysia, Brigedier Jeneral Dato’ Syahir Hafizul Abdul Rahman; Pengerusi Kor Polis Tentera Diraja, Brigedier Jeneral Shamsulakmar Hj Ismail; Provost Marshal Tentera Darat, Brigedier Jeneral Nozri Senawi, serta mantan Ketua Pengarah Undang-Undang Cawangan Sumber Manusia Markas Tentera Darat, Brigedier Jeneral Noor Hishamudin Rahim.
Turut hadir ialah pegawai-pegawai kanan Tentera Darat, Pegawai Waran Rejimen, ahli keluarga, warga KPTD serta tetamu kehormat yang memberikan penghormatan kepada dua perwira negara atas khidmat bakti dan pengorbanan mereka dalam memperkukuh institusi ketenteraan tanah air.-airtimes.my
#AirTimes #ATM #TenteraDarat #KPTD #PolisTentera #PertahananKeselamatan #Malaysia
