PORT DICKSON, 10 Jun – Tentera Darat Malaysia (TDM) menerima kunjungan bersejarah Presiden Republik Poland, Andrzej Duda ke Rejimen Kedua Kor Armor Diraja (2 KAD), sekali gus memperkukuh hubungan strategik pertahanan antara kedua-dua negara.
Lawatan rasmi itu berlangsung di Kem Sunggala, Port Dickson sebagai sebahagian daripada siri atur cara sempena lawatan negara Presiden Duda ke Malaysia.
Menurut Sel Perhubungan Raya Markas Tentera Darat, lawatan tersebut merupakan salah satu atur cara rasmi yang mencerminkan pengiktirafan terhadap hubungan ketenteraan erat antara Malaysia dan Poland, serta komitmen bersama dalam memperkukuh kerjasama pertahanan strategik.
Ia juga mencerminkan komitmen bersama kedua-dua negara dalam memperluaskan kerjasama pertahanan, khususnya ketika Malaysia mempengerusikan Sidang Kemuncak ASEAN 2025 dan Poland sebagai Presiden Majlis Kesatuan Eropah.
Dalam lawatan tersebut, Presiden Duda yang diiringi delegasi rasmi dan diplomat Poland, telah diberi taklimat mengenai struktur, peranan dan keupayaan operasi Rejimen Kedua Kor Armor Diraja.
“Perbincangan antara delegasi kedua-dua negara membuka potensi besar dalam kerjasama pertahanan seperti pertukaran latihan ketenteraan, pemindahan teknologi ketenteraan serta peluang dalam pembelian atau pembangunan bersama aset pertahanan,
“Lawatan ini turut menandakan pengiktirafan secara tidak langsung terhadap kemampuan dan kredibiliti TDM dalam mengekalkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi serta kemampuan melaksanakan tugas pada tahap global,” jelas TDM.
Tambah TDM, lawatan ini telah membuka ruang yang lebih luas bagi memperkukuh dan memperluas kerjasama dalam industri pertahanan antara Malaysia dan Poland.
“Antara bidang yang dikenal pasti berpotensi untuk diterokai termasuk pengeluaran bersama aset pertahanan, pemindahan teknologi ketenteraan yang strategik serta sokongan komprehensif dalam aspek penyelenggaraan dan logistik,” tambah kenyataan itu.
Malaysia dan Poland sebelum ini telah menjalin hubungan erat dalam bidang ketenteraan, yang terbukti menerusi pemerolehan kereta kebal utama PT-91M Pendekar oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Kereta kebal buatan Poland itu dilengkapi dengan sistem perlindungan reaktif, kawalan tembakan digital dan enjin berkuasa tinggi, memberi kelebihan dalam aspek mobiliti dan kuasa tembakan.
Sejak diperkenalkan, Pendekar telah menjadi tulang belakang kepada Kor Armor Diraja, memberikan keupayaan mobiliti, perlindungan, dan daya tembak yang tinggi dalam pelbagai bentuk operasi darat.
Selain itu, penggunaan sistem pesawat tanpa pemandu (UAS) FlyEye yang dibekalkan oleh Poland turut meningkatkan keupayaan risikan dan penilaian taktikal ATM dalam menghadapi cabaran keselamatam masa kini.
Turut hadir, Duta Besar Poland ke Malaysia, Mr. Krzysztof Dobrowolski dan Timbalan Panglima Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Tengku Muhammad Fauzi Tengku Ibrahim dan Pegawai-Pegawai kanan ATM.
Lawatan ini sekali gus mengangkat kredibiliti TDM di peringkat antarabangsa dan memperkukuh aspirasi Kementerian Pertahanan untuk membentuk ekosistem pertahanan yang mampan, moden dan berdaya saing.
Duda yang kini sedang dalam lawatan rasmi pertamanya ke Malaysia tiba pada waktu yang cukup signifikan, semasa Malaysia menjadi Pengerusi ASEAN dan ketika Poland menjadi Presiden Majlis Kesatuan Eropah (EU) bagi separuh tahun pertama 2025.
Pagi tadi Duda diberi sambutan rasmi di Kompleks Perdana Putra, sebelum beliau mengadakan pertemuan dua hala dengan Anwar di Seri Perdana.
Wisma Putra dalam kenyataan semalam memaklumkan, lawatan Duda itu melambangkan hubungan erat dan mesra antara Malaysia dan Poland yang berteraskan kepada prinsip saling menghormati serta kerjasama erat sejak terjalinnya hubungan diplomatik pada 1971.-airitmes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #Poland #TDM