Home Teknologi PertahananMILDEF dijangka meterai kontrak bekal 136 Tarantula kepada Tentera Darat

MILDEF dijangka meterai kontrak bekal 136 Tarantula kepada Tentera Darat

by Zaki Salleh
A+A-
Reset

LANGKAWI 21 MEI – Syarikat automotif pertahanan tempatan, Mildef International Technologies Sdn Bhd (MILDEF) dijangka akan memetrai kontrak membekal 136 unit kenderaan Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia.

Perkara tersebut dimaklumkan MILDEF menerusi kenyataan media yang dikeluarkan pada LIMA 2025, pada Selasa.

Bagaimana pun, kenyataan itu tidak menjelaskan lebih terperinci tentang kontrak yang hendak dimeterai.

“Menerusi edisi penganjuran LIMA kali ini, MILDEF juga dijangka akan memetrai kontrak bagi pembekalan 136 unit Tarantula kepada Tentera Darat Malaysia.

“Ia sekali gus membuktikan kemampuan dan kepercayaan Kementerian Pertahanan kepada MILDEF dalam melaksanakan projek berskala besar dengan mengikut spesifikasi dan jadual yang ditetapkan kerajaan,” memetik kenyataan berkenaan.

Ini merupakan kali pertama MILDEF mengeluarkan kenyataan sedemikian sejak kenderaan berperisai mobiliti tinggi empat roda (HMAV 4×4) Tarantula yang diperkenalkan MILDEF pada 2 April 2021.

Sepertimana diketahui, sepanjang tempoh itu MILDEF telah menjalankan beberapa ujian termasuk melibatkan Tentera Darat Malaysia bagi menguji keupayaan HMAV Tarantula di lapangan.

RIBAT, kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV) buatan tempatan (Foto: MILDEF)

Sementara itu, dalam kenyataan sama yang dikeluarkan semalam, MILDEF mengumumkan pelancaran rasmi RIBAT, iaitu kenderaan taktikal ringan mobiliti tinggi (High Mobility Light Tactical Vehicle (HMLTV).

Ini merupakan kenderaan HMLTV pertama seumpamanya yang direka bentuk dan dibina sepenuhnya oleh MILDEF.

Pelancaran ini mengesahkan kedudukan MILDEF sebagai peneraju industri pertahanan darat negara.

Sekali gus menjadikan syarikat ini sebagai pengeluar pertama kenderaan perisai taktikal nasional yang berjaya menembusi
pasaran serantau dan antarabangsa.

Penamaan RIBAT oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim ini membawa nilai simbolik tinggi serta merujuk kepada semangat berkawal mempertahankan tanah air yang berteraskan iman, patriotisme dan teknologi.

Pengarah Urusan MILDEF, Dato’ Sri Mohd Nizam Kasa berkata, pelancaran RIBAT menjadi manifestasi kejayaan dasar kerajaan dalam memperkasa ekosistem pertahanan yang berdikari dan berimpak tinggi.

“RIBAT merupakan hasil inovasi tempatan yang membuktikan bahawa Malaysia bukan sahaja mampu menjadi pengguna sistem pertahanan, tetapi pencipta teknologi strategik yang diyakini kerajaan dan komuniti global,” katanya.

Selain itu, MILDEF turut menandatangani memorandum persefahaman (MOU) bagi kerjasama strategik bersama rakan industri.

Ini melibatkan syarikat pertahanan utama Indonesia, PT PINDAD bagi membuka peluang eksport, pemindahan teknologi serta integrasi sistem antara kedua-dua negara serantau.

Kerjasama seterusnya Institut Penyelidikan Sains dan Teknologi Pertahanan (STRIDE) memfokuskan kepada pembangunan dua lagi platform kenderaan taktikal yang akan direka bentuk sepenuhnya dalam negara.

#AirTimes #RIBAT #MILDEF #Asetpertahanan

Related Articles