Home DiskusiOperation Sindoor: Kesan strategik dan krisis serantau India-Pakistan

Operation Sindoor: Kesan strategik dan krisis serantau India-Pakistan

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Operation Sindoor yang dilancarkan oleh India pada awal Mei 2025 menjadi kemuncak kepada ketegangan yang telah lama membara antara dua kuasa nuklear utama di Asia Selatan. Dalam tempoh kurang seminggu, konflik ini menyaksikan penggunaan kuasa ketenteraan besar-besaran oleh kedua-dua negara.

Serangan udara, peluru berpandu, serta gelombang serangan dron telah mengubah wajah konflik sempadan menjadi konfrontasi berskala penuh, dan meninggalkan kesan langsung yang mendalam terhadap keselamatan serantau, populasi awam dan persepsi antarabangsa.

Impak Awal Serangan Operasi Sindoor

Penggunaan peluru berpandu ketepatan tinggi dan amunisi berpandu pintar oleh India ke atas sembilan lokasi yang dikenal pasti sebagai sasaran militan di wilayah Pakistan semasa pelaksanaan Operation Sindoor telah mengakibatkan kemusnahan besar, bukan sahaja terhadap struktur yang disyaki digunakan oleh kumpulan pengganas, malah turut memberi kesan serius kepada kawasan awam di sekitarnya.

Antara sasaran yang dikenal pasti termasuk Masjid Subhan Allah di Bahawalpur berhampiran Ahmedpur East, serta Markaz-e-Taiba di Muridke, yang menurut perisikan India berfungsi sebagai markas utama kumpulan Lashkar-e-Taiba dan Jaish-e-Mohammed. Kedua-dua kumpulan ini didakwa terlibat secara langsung dalam perancangan serta pelaksanaan beberapa siri serangan pengganas terhadap India.

Gambaran satelit menunjukkan salah satu lokasi kem militan di wilayah Pakistan yang menjadi sasaran serangan udara India semasa pelaksanaan Operasi Sindoor pada Mei 2025. Foto: MAXAR

Dalam kenyataan rasmi, New Delhi menegaskan bahawa tiada fasiliti milik Angkatan Tentera Pakistan dijadikan sasaran, sebagai bukti pendekatan berhati-hati untuk mengelakkan konflik berskala besar antara dua kuasa nuklear serantau itu.

Namun begitu, pihak berkuasa Pakistan melaporkan sekurang-kurangnya tiga orang maut dan dua belas yang lain cedera akibat serangan tersebut. Pakistan turut mengesahkan bahawa enam daripada sembilan sasaran yang dilancarkan India berjaya mengenai kawasan yang disasarkan.

Namun Pakistan menafikan serangan terhadap Barnala dan Gulpur di Azad Kashmir dengan menyatakan bahawa kedua-dua kawasan tersebut merupakan kawasan awam yang menempatkan masjid dan kediaman penduduk. Susulan itu, Islamabad mengecam keras tindakan New Delhi dan menyifatkan serangan tersebut sebagai pelanggaran kedaulatan serta ancaman langsung kepada keselamatan awam.

Sebagai tindak balas segera, Pakistan telah melancarkan beberapa siri serangan balas ke wilayah Jammu yang ditadbir India, melibatkan penggunaan dron bersenjata, peluru berpandu jarak dekat dan tembakan mortar.

Serangan balas ini menyebabkan kerosakan ketara ke atas beberapa lokasi awam termasuk kemusnahan sebuah sekolah, tempat ibadah dan beberapa buah rumah, serta mengakibatkan kematian empat belas orang awam dan dua anggota tentera India.

Serang balas udara India-Pakistan

Pertempuran sengit tercetus antara India dan Pakistan, melibatkan pelbagai jenis jet pejuang, peluru berpandu jarak jauh, dan dron yang dilancarkan dari wilayah masing-masing dalam operasi berskala besar susulan serangan awal Operasi Sindoor.

Menurut sumber keselamatan Pakistan, lebih 100 buah pesawat pejuang dari kedua-dua negara telah terlibat dalam konfrontasi udara tersebut.

Meskipun insiden itu berskala besar, tiada sebarang pesawat yang melintasi sempadan masing-masing. Sebaliknya, serangan dilakukan daripada jarak jauh dengan menggunakan pelbagai jenis peluru berpandu, khususnya peluru berpandu beyond visual range (BVR) yang direka untuk menyerang sasaran tanpa perlu memasuki ruang udara musuh secara langsung.

Dassault Rafale milik Tentera Udara India, antara pesawat yang terlibat dalam Operasi Sindoor. Unit ini antara yang dilaporkan musnah selepas ditembak jatuh oleh pertahanan udara Pakistan. Foto: X

Kesan daripada serangan balas udara tersebut, India mengesahkan mereka mengalami kerugian ketara apabila tiga buah pesawat pejuangnya terdiri daripada sebuah Rafale, sebuah Mirage 2000 dan sebuah lagi yang tidak diketahui namanya telah  berjaya ditembak jatuh oleh pihak Pakistan.

Namun, Tentera Udara Pakistan mendakwa telah menembak jatuh tiga Rafale, satu MiG-29, satu Mirage 2000 dan satu Su-30MKI dengan menggunakan pesawat pejuang J-10C yang dilengkapi peluru berpandu PL-15 jarak jauh.

Selain itu, kedua-dua kuasa besar tersebut turut melancarkan serangan balas menggunakan dron antara satu sama lain, menjadikan ruang udara di sepanjang sempadan sebagai medan konfrontasi tanpa henti yang melibatkan operasi pemantauan, serangan tepat dan tindakan balas taktikal secara berterusan.

Kemusnahan lokasi strategik

Pada 10 Mei, India telah melancarkan serangan peluru berpandu ke atas sebuah sasaran strategik yang dikenal pasti sebagai Pangkalan Udara Nur Khan di Pakistan, sebuah fasiliti ketenteraan penting yang terletak berhampiran Islamabad.

Dalam kenyataan rasmi, New Delhi menyifatkan tindakan itu sebagai tindak balas langsung terhadap siri serangan dron dan peluru berpandu yang dilancarkan ke sektor barat India, termasuk kawasan berhampiran Amritsar dan Bhatinda, yang didakwa dilakukan oleh pihak Pakistan.

Selain itu, beberapa lokasi strategik lain turut menjadi sasaran dalam serangan India, termasuk Pangkalan Udara Bholari, Pangkalan Udara Shahbaz dan Pangkalan Udara Mushaf yang memainkan peranan penting dalam keupayaan pertahanan udara Pakistan.

Beberapa lapangan terbang awam yang dipercayai mempunyai kepentingan logistik dan ketenteraan, seperti Lapangan Terbang Rahim Yar Khan dan Lapangan Terbang Sukkur, turut disasarkan dalam siri serangan tersebut.

Antara kesan kemusnahan di wilayah Pakistan selepas serangan balas India dalam Operasi Sindoor yang turut mengorbankan orang awam. Gambar Hiasan

Susulan serangan tersebut, Pakistan mendakwa telah melancarkan serangan balas berskala besar dengan menyasarkan 26 lokasi ketenteraan di India, termasuk 15 pangkalan udara utama yang terletak di pelbagai kawasan strategik seperti Suratgarh, Sirsa dan Naliya.

Islamabad turut menyatakan bahawa mereka berjaya memusnahkan kemudahan simpanan peluru berpandu BrahMos di Beas dan Nagrota, selain menumpaskan dua sistem pertahanan udara S-400 milik India.

Selain itu, Pakistan juga melancarkan serangan siber yang menyasarkan pelbagai infrastruktur digital kritikal India, termasuk satelit ketenteraan, laman sesawang rasmi kerajaan, dan sistem komunikasi strategik.

Pihak berkuasa India mengesahkan bahawa lebih 1.5 juta cubaan pencerobohan siber telah direkodkan sepanjang tempoh serangan, sekali gus menunjukkan skala peperangan hibrid yang semakin meluas antara kedua-dua negara.

Korban akibat peperangan

Sepanjang tempoh empat hari konflik bersenjata, angka korban terus meningkat dengan India melaporkan seramai 21 orang awam dan lapan anggota keselamatan, termasuk tentera serta pasukan paramilitari, terkorban dalam siri serangan yang berlaku. Majoriti kematian dan kecederaan dilaporkan berpunca daripada serangan mortar oleh Pakistan di wilayah Jammu yang ditadbir India, terutamanya di daerah Poonch yang menjadi tumpuan serangan rentas sempadan.

Dalam pada itu, Pakistan mendakwa bahawa antara 25 hingga 50 anggota tentera India telah terbunuh sepanjang pertempuran tersebut. Walau bagaimanapun, angka ini tidak disahkan oleh pihak berkuasa India dan tidak disokong oleh sumber bebas ketika laporan ini disediakan.

Manakala bagi pihak Pakistan, kerajaan negara itu melaporkan bahawa seramai 40 orang awam dan 13 anggota tentera terkorban sepanjang konflik, dengan kebanyakan kematian berlaku akibat serangan udara India dan tembakan rentas sempadan di wilayah Azad Kashmir yang ditadbir Pakistan.

Penduduk tempatan mengusung keranda mangsa awam yang terkorban dalam serangan udara di kawasan sempadan. Ketegangan yang semakin memuncak antara India dan Pakistan sekali lagi menjadikan orang awam sebagai korban utama konflik. Gambar Hiasan

Menurut sumber rasmi Islamabad, serangan udara awal yang dilancarkan India pada 9 Mei sahaja telah mengorbankan sekurang-kurangnya 21 orang awam.

Sementara itu, India pula mendakwa bahawa lebih 100 militan telah terbunuh dalam siri serangan peluru berpandu yang disasarkan ke atas kem-kem latihan dan pusat perancangan militan.

New Delhi turut menganggarkan bahawa keseluruhan kerugian personel ketenteraan Pakistan berada dalam lingkungan 35 hingga 40 orang, meskipun angka ini tidak disahkan oleh pihak Pakistan secara terbuka.

Kesan kepada geopolitik dan serantau

Berikutan operasi ketenteraan yang semakin memuncak, ruang udara antara dua negara nuklear ini terpaksa ditutup sepenuhnya atas faktor keselamatan.

Pakistan menutup ruang udaranya selama lebih 48 jam, manakala India turut mengambil langkah drastik dengan menutup sekurang-kurangnya 25 lapangan terbang di bahagian utara dan barat sehingga 10 Mei.

Dalam langkah kawalan lanjut, Tentera Udara India mengambil alih pengurusan beberapa lapangan terbang utama termasuk Lapangan Terbang Srinagar, dan semua operasi penerbangan awam dihentikan untuk tempoh yang tidak ditentukan.

Selain itu, India turut menyekat lebih daripada 8,000 akaun di platform X (Twitter) serta beberapa saluran YouTube yang berpangkalan di Pakistan atas alasan mengancam keselamatan negara dan menggugat keamanan awam.

Sebagai tindak balas, Pihak Berkuasa Telekomunikasi Pakistan (PTA) bertindak menyekat 79 saluran YouTube dan laman sesawang dari India, dengan mendakwa kandungan yang disebarkan bersifat propaganda anti-Pakistan dan berpotensi mengganggu perpaduan nasional.

Pasaran saham di India dan Pakistan mengalami turun naik mendadak sepanjang minggu susulan ketegangan geopolitik yang memuncak, mencerminkan kebimbangan pelabur terhadap risiko konflik berskala penuh.

Ini menunjukkan permulaan daripada Operasi Sindoor bukan sahaja mencetuskan pertempuran bersenjata terbesar antara India dan Pakistan sejak konflik Kargil, malah memperlihatkan pergeseran serius terhadap keseimbangan keselamatan serantau yang sedia rapuh.

Dalam tempoh beberapa hari sahaja, Asia Selatan menyaksikan lonjakan dramatik dalam bentuk peperangan konvensional dan hibrid, yang menggabungkan serangan kinetik, perang siber dan manipulasi maklumat strategik.

Ketika kedua-dua negara saling menuding jari dan memperkukuh kedudukan ketenteraan masing-masing, masyarakat antarabangsa memandang serius kebangkitan semula konflik ini, yang bukan sahaja mengancam kestabilan serantau, tetapi juga menimbulkan persoalan besar mengenai masa depan keamanan antara dua kuasa nuklear yang saling berhadapan di ambang perang.-airtimes.my

#AirTimes #Diskusi #OperasiSindoor #IndiaPakistan #KonflikAsiaSelatan #PeperanganModen

Tanya ChatGPT

Related Articles

Leave a Reply