Home DiskusiOperation Sindoor: Contoh peperangan udara moden di Asia

Operation Sindoor: Contoh peperangan udara moden di Asia

by Zulfadhli Azmie
A+A-
Reset

Operation Sindoor yang dilancarkan oleh India pada 7 Mei 2025 merupakan operasi ketenteraan berskala besar ke atas beberapa kawasan di sempadan Pakistan, sekali gus mencetuskan semula ketegangan udara antara kedua-dua negara.

Serangan rentas sempadan itu menyasarkan sembilan lokasi infrastruktur militan di wilayah Pakistan dan Pakistan-occupied Jammu and Kashmir (PoJK), termasuk kawasan strategik seperti Muzaffarabad, Kotli dan Bahawalpur.

Operasi tersebut dilancarkan sebagai tindak balas kepada serangan berdarah di Pahalgam pada 22 April lalu yang mengorbankan 26 orang awam, termasuk seorang warganegara Nepal. Insiden tersebut segera dijadikan pencetus bagi India untuk melaksanakan tindakan ketenteraan bersasar ke atas apa yang digambarkan sebagai lokasi tumpuan militan yang beroperasi merentas sempadan.

Naratif bertentangan di antara dua negara

Kementerian Pertahanan India menyifatkan Operation Sindoor sebagai tindakan fokus, terkawal dan berasaskan perisikan, dengan pemilihan sasaran yang dikatakan berhati-hati bagi mengelakkan perluasan konflik.

Menurut kenyataan rasmi, tiada kemudahan ketenteraan Pakistan yang menjadi sasaran. Sebaliknya, operasi ini dilihat sebagai mesej jelas bahawa India tidak akan berdiam diri terhadap sebarang ancaman rentas sempadan.

Kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh Kementerian Pertahanan India mengenai Operasi Sindoor. Foto: Kementerian Pertahanan India

Sebaliknya, Pakistan menuduh India melancarkan serangan secara terang-terangan ke atas wilayah berdaulatnya menggunakan peluru berpandu jarak jauh dari ruang udara India.

Menurut kenyataan Kementerian Luar Negeri Pakistan, beberapa kawasan awam di Muridke, Sialkot, Bahawalpur serta Azad Jammu dan Kashmir telah menjadi sasaran, mengakibatkan kematian serta kecederaan kepada wanita dan kanak-kanak.

Islamabad menganggap serangan tersebut sebagai pencabulan terhadap Piagam Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, undang-undang antarabangsa dan norma hubungan dua hala. Pakistan juga memberi amaran bahawa mereka berhak untuk bertindak balas pada masa dan dalam bentuk yang difikirkan sesuai.

Konfrontasi udara dan serangan balas Pakistan

Ketegangan segera bertukar menjadi konfrontasi ketenteraan penuh apabila Pakistan melancarkan serangan balas beberapa jam selepas serangan awal India.

Menteri Pertahanan Pakistan, Khawaja Asif, mengesahkan bahawa Tentera Udara Pakistan telah menembak jatuh sekurang-kurangnya lima pesawat pejuang India iaitu tiga jet Rafale, satu MiG-29 dan sebuah Su-30, ketika pesawat-pesawat itu dilaporkan cuba melakukan serangan dari ruang udara India.

Antara serpihan pesawat yang ditemui di lokasi kejadian susulan insiden serangan balas udara antara India dan Pakistan, yang menandakan peningkatan ketara dalam ketegangan ketenteraan antara kedua-dua negara. Foto: Hiasan

Selain serangan udara, Pakistan turut melancarkan serangan menggunakan dron dan peluru berpandu terhadap beberapa pangkalan tentera India di kawasan utara dan barat negara itu, termasuk Srinagar, Awantipura, Jammu, Pathankot, Amritsar, Chandigarh dan Bhuj.

Walau bagaimanapun, kebanyakan serangan ini dilaporkan berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara India, termasuk sistem anti-UAS bersepadu yang semakin menjadi tonggak strategi pertahanan India. Serpihan peluru dan dron ditemui di beberapa lokasi, membuktikan intensiti percubaan serangan balas tersebut.

Sebagai tindak balas, India melancarkan gelombang serangan susulan yang menyasarkan sistem radar dan pertahanan udara Pakistan. Salah satu lokasi strategik yang dilaporkan musnah ialah fasiliti pertahanan udara di sekitar Lahore.

India menegaskan bahawa serangan itu bersifat seimbang dan terhad kepada domain ketenteraan, namun mesej yang disampaikan adalah jelas bahawa sebarang tindakan terhadap aset tentera India akan dibalas secara setimpal.

Pertempuran turut meletus di sepanjang Garisan Kawalan (LoC) apabila Pakistan melepaskan tembakan mortar dan artileri berat ke arah sektor Kupwara, Baramulla, Poonch dan Rajouri.

Kementerian Pertahanan India melaporkan sekurang-kurangnya 16 kematian awam, termasuk tiga wanita dan lima kanak-kanak. India membalas dengan kekuatan yang sama, sekaligus meningkatkan lagi ketegangan di sepanjang sempadan yang sememangnya sensitif dan berisiko tinggi.

Diplomasi Antarabangsa dan Tekanan Global

Ketika konflik semakin meruncing, beberapa kuasa besar dunia mula campur tangan bagi mengelakkan situasi berubah menjadi perang berskala penuh.

Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, menghubungi penasihat keselamatan India dan Pakistan secara langsung untuk meredakan keadaan. Washington menyatakan kebimbangan terhadap eskalasi dan menggesa kedua-dua negara agar kembali ke meja rundingan.

Peperangan tidak pernah membawa kemenangan mutlak, sebaliknya hanya meninggalkan jejak kemusnahan, penderitaan dan ketidakstabilan yang berpanjangan. Foto: Hiasan

Dalam masa yang sama, Kementerian Luar Negeri Pakistan telah memanggil Kuasa Usaha India di Islamabad untuk menyampaikan bantahan rasmi berhubung serangan yang disifatkan sebagai tidak diprovokasi. Pakistan juga menolak dakwaan bahawa ia terlibat dalam serangan Pahalgam, sebaliknya menuduh India sengaja mencipta naratif palsu bagi menghalalkan tindakan ketenteraannya.

Cerminan Peperangan Udara Era Baharu

Operation Sindoor memperlihatkan bagaimana peperangan udara moden tidak lagi hanya bergantung kepada kekuatan konvensional, tetapi juga bergantung kepada kelajuan, ketepatan dan keupayaan integrasi pelbagai sistem persenjataan dan perisikan.

Kesan daripada operasi ini tidak hanya terhad kepada kemusnahan di medan perang, tetapi turut mengundang kesan diplomatik yang meluas dan mempengaruhi persepsi keselamatan serantau.

Konflik ini juga menandakan betapa cepatnya situasi taktikal boleh berubah menjadi krisis strategik dalam era dominasi teknologi ketenteraan. Di sebalik kenyataan rasmi yang saling bercanggah dan dakwaan ketepatan dalam pelaksanaan operasi, realiti di lapangan tetap mencatatkan korban awam dan kesan kemanusiaan yang tidak boleh diketepikan.

Kini, ruang udara Asia Selatan sekali lagi menjadi titik panas geopolitik, mengingatkan dunia akan bahaya konflik antara dua negara nuklear yang saling menguji sempadan kesabaran. Ketika misil terus dilancarkan dan enjin jet terus mengaum di langit, dunia hanya mampu berharap agar diplomasi mengatasi dentuman senjata.-airtimes.my

#AirTimes #Diskusi #OperationSindoor #AirWarfare #IndiaPakistan #GeopolitikAsia  #PeperanganModen

Related Articles

Leave a Reply