Home DiskusiAncaman dron kecil: Kesiapsiagaan TUDM pertahan ruang udara negara

Ancaman dron kecil: Kesiapsiagaan TUDM pertahan ruang udara negara

by Zulhaizi Rosdi
A+A-
Reset

Dalam era moden yang menyaksikan teknologi berkembang pantas, penggunaan dron kecil kini bukan lagi sekadar hobi atau untuk tujuan komersial. Sebaliknya, ia telah berubah menjadi satu ancaman ketara terhadap keselamatan negara, khususnya kepada instalasi strategik Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Panglima Tentera Udara, Jeneral Datuk Seri Muhamad Norazlan Aris, menyuarakan kebimbangan tersebut dengan tegas. Beliau menyatakan bahawa Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) kini memandang serius potensi ancaman daripada dron bersaiz kecil yang semakin mudah diperoleh dan dimodifikasi oleh pelbagai pihak.

“Kalau kita lihat dalam media sosial seperti WhatsApp, Facebook atau TikTok, jelas menunjukkan bagaimana dron kecil ini mampu memberi kesan yang besar. Pertama, kerana ia murah. Kedua, kerana ia berkesan,” ujar beliau semasa ditemui dalam satu wawancara.

Menurut beliau, keberkesanan dron sebagai alat serangan atau pengintipan telah terbukti dalam pelbagai konflik dan kini tidak mustahil ia digunakan terhadap aset-aset strategik negara. Oleh sebab itu, TUDM telah mula membina keupayaan sistem anti-dron yang mampu menangkis sebarang ancaman yang mungkin berlaku.

Walaupun teknologi anti-dron masih dalam peringkat pembangunan dan pemantapan, langkah awal telah diambil untuk mengenal pasti kawasan-kawasan strategik yang perlu dilindungi. Kawasan ini termasuk instalasi penting TUDM yang boleh memberi kesan besar jika diserang.

“Anti-dron tidak seperti sistem pertahanan udara besar seperti Iron Dome. Litupan kawasan oleh sistem ini tidak begitu luas. Justeru, kita akan fokus pada instalasi yang memberi impak besar kepada operasi ketenteraan,” jelas beliau lagi.

Penilaian ancaman ini juga bergantung kepada jenis sasaran. Sekiranya sesebuah kawasan dikenal pasti sebagai sasaran berisiko tinggi atau ‘soft skin target’ yang mudah terdedah kepada serangan, maka keutamaan akan diberikan untuk perlindungan. Sebaliknya, jika lokasi tersebut lebih tahan atau mempunyai sistem pertahanan tersendiri, maka keperluan perlindungan tambahan mungkin dikurangkan.

“Seluruh negara terlalu besar untuk dilitupi sistem ini. Jadi kita akan tumpu kepada kawasan yang melibatkan pengoperasian TUDM terlebih dahulu,” tambah beliau sambil menyatakan bahawa agensi lain seperti polis dan jabatan-jabatan kerajaan turut mempunyai pelan keselamatan masing-masing dalam menangani isu dron.

Isu sebenar yang membimbangkan bukan sahaja melibatkan kemungkinan serangan fizikal, tetapi juga aspek pengintipan. Menurut Panglima TUDM, terdapat kes di mana dron tidak membawa sebarang bahan letupan tetapi digunakan untuk mengambil maklumat kawasan sekitar pangkalan udara.

“Kita memang sentiasa memantau kawasan pangkalan. Jika ada pengesanan terhadap sebarang aktiviti dron, tindakan serta-merta akan diambil. Ada juga kes di mana individu yang mengendalikan dron ini ditangkap kerana cubaan mengambil gambar kawasan sensitif,” katanya.

Dalam konteks ini, kawalan terhadap penggunaan dron perlu diperkukuhkan. Walaupun dron boleh digunakan untuk pelbagai tujuan sah, penyalahgunaan oleh individu atau kumpulan yang mempunyai niat tidak baik tidak boleh dipandang ringan.

“Penggunaan dron perlu dikawal secara sistematik. Walaupun mudah diperoleh dan diubah suai, penggunaannya tidak boleh dibiarkan sewenang-wenangnya. Ini penting untuk elak ia dimanipulasi oleh pihak yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.

Ancaman dron kecil mencerminkan satu bentuk cabaran baharu dalam landskap pertahanan negara. Ia bukan sahaja menguji keupayaan taktikal dan teknikal TUDM, malah menuntut kerjasama pelbagai agensi bagi memastikan ruang udara negara sentiasa selamat daripada sebarang bentuk pencerobohan atau pengintipan.

Dalam dunia yang semakin kompleks, strategi pertahanan udara turut perlu beradaptasi dengan ancaman baharu yang muncul dalam bentuk yang kecil tetapi berpotensi besar.  – airtimes.my

#AirTimes #PertahananUdara #ATM #TUDM #Dronmini #AncamanKeselamatan #AntiDron  #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply