SUBANG, 23 Julai – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) bersedia menghantar pasukan teknikal ke Kuwait pada September ini bagi menjalankan penilaian awal terhadap pesawat pejuang F/A-18D Hornet yang ditawarkan oleh negara itu.
Perkara tersebut dimaklumkan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris dalam sidang media sempena Majlis Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-21 yang berlangsung di Pangkalan Udara Subang, hari ini.
Menurut beliau, pasukan teknikal TUDM telah dibentuk susulan kelulusan daripada pihak Amerika Syarikat yang membolehkan Malaysia menilai dokumen teknikal dan fizikal pesawat secara rasmi di Kuwait.
“Selepas kelulusan diberi, kita telah bersedia untuk ke Kuwait bagi meneliti dokumentasi dan pesawat itu sendiri. Tanpa kelulusan ini, kita tidak dibenarkan mengakses maklumat tersebut. Ini adalah satu peluang yang penting bagi kita,” jelas beliau.
Tambah Norazlan, penilaian akan mengambil masa beberapa minggu dan merangkumi pelbagai aspek termasuk status penyelenggaraan, sejarah operasi serta kebolehgunaan aset tersebut dalam struktur sedia ada TUDM.
“Pesawat ini adalah aset terpakai, jadi kita perlu teliti segala aspek. Pembelian semata-mata tidak mencukupi jika kita tidak mampu menyelenggarakannya. Apa yang penting ialah keupayaan untuk mengekalkan operasi dalam jangka masa panjang,” katanya.

Panglima Tentera Udara, Jeneral Dato’ Sri Muhamad Norazlan Aris ketika menyampaikan kenyataan semasa sidang media selepas Majlis Perintah Ulung Panglima Tentera Udara ke-21 di Pangkalan Udara Subang. Foto: AirTimes/Zulhaizi
Beliau turut menjelaskan bahawa proses penyerahan pesawat oleh Kuwait akan berlaku secara berperingkat, mengikut penerimaan pesawat F/A-18E/F Super Hornet baharu yang diperoleh negara itu daripada Amerika Syarikat.
“Setakat yang difahamkan, jika Kuwait menerima empat pesawat baharu, maka empat pesawat lama akan dilepaskan kepada kita. Namun, penyerahan ini juga bergantung kepada keperluan harian operasi mereka,” katanya lagi.
Menurut Norazlan, cadangan perolehan ini bersifat jangka pendek bagi mengisi keperluan operasi TUDM sementara menunggu rancangan penggantian aset pejuang sedia ada seperti F/A-18D dan Su-30MKM yang dijangka bermula dalam tempoh 10 hingga 15 tahun akan datang.
“Perolehan ini bukan pengganti jangka panjang, tetapi berpotensi menjadi pelengkap dalam mengisi jurang keupayaan kita ketika ini, tertakluk kepada hasil penilaian pasukan yang akan dihantar ke Kuwait,” jelas beliau.
Tindakan TUDM ini dilihat sebagai langkah strategik untuk mengekalkan kesiapsiagaan tempur negara secara berterusan tanpa bergantung sepenuhnya kepada jadual perolehan pesawat baharu.
Sebelum ini, Malaysia dijangka bakal menerima sehingga 33 buah pesawat F/A-18 Hornet terpakai dari Kuwait sebagai langkah memperkasakan keupayaan pertahanan udara TUDM.-airtimes.my
#AirTimes #PertahananKeselamatan #TUDM #F18Hornet #Kuwait #PertahananUdara