KUALA LUMPUR, 19 Julai – Hubungan strategik dan kebolehoperasian bersama antara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) terus diperkukuh menerusi pelaksanaan Operasi Patroli Udara Terkoordinasi Malaysia-Indonesia (PATKOR MALINDO) Siri 1/25 yang dilaksanakan di ruang udara Selat Melaka.
TUDM memaklumkan, operasi yang dilaksankan pada Rabu lalu ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kedua-dua negara dalam mempertingkatkan keselamatan dan kestabilan maritim di Selat Melaka yang juga merupakan antara laluan perdagangan utama.
“Sebanyak tiga buah pesawat F/A-18D Hornet TUDM dari No. 18 Skuadron telah diaturgerak, manakala TNI-AU menggerakkan dua buah pesawat F-16 dari Skuadron Udara 16, LANUD Roesmin Nurjadin, Pekanbaru.
“Turut terlibat CRC Kuantan sebagai Pusat Kawalan Operasi TUDM, manakala penyelarasan ruang udara dilakukan oleh JAMCC Sepang dan Civil Aviation Authority of Malaysia (CAAM),” jelas TUDM.
Bagi Pusat Kawalan Operasi Indonesia pula dikendalikan oleh Komando Sektor 1 (KOSEK 1) Medan.
Menurut TUDM, pelaksanaan operasi ini adalah hasil perancangan rapi melalui Mesyuarat Koordinasi PATKOR MALINDO Siri 1/25 yang diadakan pada 10 hingga 12 Jun lalu di Melaka, membuktikan kesepaduan ketenteraan antara dua negara serumpun dalam menangani cabaran keselamatan serantau.
“Kejayaan pelaksanaan PATKOR MALINDO Siri 1/25 bukan sahaja memperlihatkan tahap kebolehoperasian tinggi kedua-dua tentera udara tetapi juga menjadi simbol kepercayaan, persefahaman dan solidariti pertahanan antara Malaysia dan Indonesia demi keamanan serantau yang berterusan,” jelas TUDM lagi. -airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Malaysia #Indonesia #TUDM #TNIAU
