BUTTERWORTH, 3 Jun – Seorang anggota sukarelawan Askar Wataniah (AW) sebuah kem di negeri ini ditahan polis bagi membantu siasatan dua kejadian berasingan termasuk menyimpan peluru.
Turut ditahan seorang lagi lelaki yang juga rakannya berusia 29 tahun.
Anggota simpanan berusia 26 tahun yang bekerja sebagai penghantar barang itu mulanya disiasat susulan laporan berhubung kes kehilangannya yang dilaporkan ahli keluarga pada 27 Mei lalu.
Kejadian berkait dengan satu rakaman video palsu penculikan yang dihantar kepada bekas teman wanitanya.
Difahamkan, dia berbuat demikian dengan bantuan seorang rakan semata-mata untuk meraih simpati wanita berkenaan.
Rakaman video yang dihantar kepada bekas kekasihnya pada 29 Mei lalu menunjukkan suspek utama kelihatan diikat tangan dan kaki, dengan mesej ugutan kononnya dia ditahan pihak tertentu.
Bagaimana pun, siasatan polis menerusi Bahagian Siasatan Jenayah Khas (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang mendapati kejadian culik tidak berlaku.
Kedua-dua suspek kemudian telah mengaku sengaja mereka-reka perbuatan tersebut.
Siasatan lanjut polis di kediaman suspek utama di Bertam Perdan di sini juga menjumpai sembilan butir peluru yang dipercayai disimpan sebagai koleksi.
Perintah reman terhadap kedua-dua suspek sehingga Jumaat ini dikeluarkan Majistret Balqis Roslin mengikut Seksyen 363 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #wataniah #tahanan #Malaysia