Di balik kebangkitan sistem pertahanan berteknologi tinggi di negara-negara lain, Turkiye juga tidak terkecuali menjadi antara salah sebuah negara yang paling menyerlah dalam sektor pertahanan . Lebih-lebih lagi, ia sebuah negara yang turut menjadi peneraju dalam pengeluaran dron tempur dan kini di kedudukan ke-11 dunia dari segi eksport industri.
Kemunculan kapal pengangkut pesawat penyerang pertama dalam Tentera Laut Turkiye, TCG Anadolu sebuah kapal serangan amfibia (Landing Helicopter Dock – LHD), kini menjadi satu simbol kekuatan ketenteraan baharu Turkiye dalam mara selangkah ke hadapan. Di samping, memiliki sistem dan aset ketenteraan lain, kapal induk ini menjadi aset terbesar dalam sejarah Tentera Laut Turkiye.
“TCG Anadolu adalah kapal pertama di dunia yang boleh mengangkut dron bersenjata,” kata Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan
Kapal pesawat ringan yang dinamakan sempena Semenanjung Anatolia ini dibangunkan oleh Sedef Shipbuilding dengan kerjasama teknologi Sepanyol, TCG Anadolu berkongsi reka bentuk dengan kapal Juan Carlos I dan menjadi kapal pertama dunia yang mampu melancarkan serta mengoperasikan pesawat udara tanpa pemandu (UCAV) secara penuh dari dek laut.
Kapal serangan amfibi dan pengangkut pesawat tanpa pendaratan konvensional Turkiye ini mula beroperasi secara rasmi pada 10 April 2023 dan direka bentuk bagi mengoperasikan UAV tempur (UCAV) seperti Bayraktar TB3 dan Bayraktar KIZILELMA , menjadikannya aset strategik penting bagi keupayaan kuasa laut Turkiye.
Menurut Erdogan, beliau menegaskan bahawa kapal ini bakal menjadi platform utama untuk pelbagai pesawat berawak dan tanpa pemandu. Kapal ini juga berpotensi mengoperasikan pesawat seperti F-35B Lockheed Martin dan TAI Hürjet, sekali gus menjadikannya kapal pengangkut pelbagai peranan.
Dengan keupayaan ini, TCG Anadolu mampu melaksanakan operasi ketenteraan dan kemanusiaan secara efektif di rantau Mediterranean, Aegean dan kawasan sekitarnya. Ia memperkukuh doktrin Turkiye sebagai kuasa maritim serantau melalui konsep ‘Blue Homeland’ (Mavi Vatan), yang menekankan kepentingan geopolitik dan ekonomi di wilayah perairan strategik.
Dalam pada itu, TCG Anadolu ini turut direka untuk menyokong misi bantuan bencana dan kemanusiaan, di mana dilengkapi kemudahan perubatan termasuk hospital dan bilik bedah, membolehkannya menjadi pusat operasi semasa bencana alam dan pemindahan pelarian.
Susulan, kapal ini meliputi kelengkapan pelbagai sistem moden termasuk radar, sistem tempur, sistem peperangan elektronik, amaran laser, sistem pencarian elektro-optik dan inframerah, serta pertahanan torpedo.
Justeru, TCG Anadolu yang mempunyai sebanyak 70 peratus komponen yang dihasilkan secara tempatan, berkemampuan untuk membawa sehingga 94 kenderaan, termasuk 13 kereta kebal, 27 kenderaan serangan amfibia, 6 kenderaan perisai pengangkut tentera, serta 33 kenderaan pelbagai guna dan 15 treler. Ia turut berupaya membawa sekurang-kurangnya 12 helikopter muatan sederhana.
Dalam masa sama, keupayaannya dalam operasi udara tanpa pemandu dari laut memberi kelebihan taktikal dalam konflik serantau seperti di Cyprus, Libya dan Laut Aegean, selain sebagai aset strategik, kehadirannya di pelabuhan asing juga memainkan peranan diplomatik melalui pendekatan ‘soft power’, sekali gus memperluaskan jaringan hubungan dua hala.
Hal ini, menjadikannya sebagai salah satu kapal yang mampu meningkatkan lagi kuasa pertahanan Turkiye terutamanya di kawasan perairan. Sejajar dengan visi mereka untuk berkuasa di maritim serantau dan global, Turkiye berkeupayaan melakukan operasi peninjauan dan serangan terhadap sasaran laut dan pesisir pantai di seluruh rantau Mediterranean, Aegean dan kawasan sekitarnya.
Sesetengah negara mungkin melihat kehadiran TCG Anadolu sebagai cabaran kepada status quo, khususnya dalam persaingan dengan Greece dan ketegangan dengan Perancis. Namun, bagi negara lain, ia membuka peluang kerjasama maritim serta potensi pembelian aset pertahanan buatan Turkiye.
Kehadirannya dalam misi luar pesisir telah menunjukkan Turkiye mampu melaksanakan kuasa secara bebas dan satu penyampaian yang kuat buat rakan dan pesaing-pesaing di mana akan menarik perhatian negara-negara yang berminat terhadap sistem pertahanan buatan Turkiye, seperti dron TB3 dan KIZILELMA yang akan beroperasi daripadanya. Ini sekaligus, membuka peluang eksport dan kerjasama industri pertahanan yang lebih meluas.
Hal ini kerana, dengan memiliki spesifikasi panjang 231 meter (757 kaki 10 inci), lebar 32 meter (105 kaki), draf 6.8 meter (22 kaki 4 inci) dan ketinggian 58 meter (190 kaki 3 inci), secara tidak langsung memenuhi keperluan dan kehendak angkatan tentera Turkiye mahupun negara lain, yang mana mampu berlayar dalam jangka masa lama dan bertempur dalam jarak jauh serta mengoperasikan bantuan kemanusiaan dan misi pemindahan ketika berlakunya bencana.
Maka, sebagai platform peralihan kepada konsep “UAV Carrier”, TCG Anadolu menjadi simbol kejayaan industri pertahanan Turkiye yang semakin berdikari, bahkan mencerminkan kemajuan syarikat tempatan seperti Baykar, ASFAT, dan Sedef Shipbuilding dan kurang bergantung kepada kuasa luar bagi memiliki aset pertahanan.
Keseluruhannya, TCG Anadolu bukan sahaja meningkatkan keupayaan Turkiye dalam strategi pertahanan laut-udara, tetapi juga sebagai simbol kuasa maritim baharu dan aspirasi Turkiye untuk menjadi hab strategik menghubungkan Eropah, Asia dan Afrika.
Kehadiran kapal ini juga berpotensi mengukuhkan kedudukan Turkiye dalam arena antarabangsa dan bukan sekadar dari segi sektor ketenteraan, malah sebagai pemangkin kepada era baharu diplomasi dan keselamatan serantau, di mana mampu meningkatkan taktik peperangan moden di laut dan sebagai isyarat kepada sekutu mahupun pesaing bahawa Turkiye bersedia untuk memimpin di masa hadapan.
Jelaslah, pertahanan dan keselamatan menjadi tunjang dalam memastikan kesejahteraan negara agar dapat mengelakkan dari ancaman kedaulatan dan sebagainya, seiring dengan perkembangan industri pertahanan juga amat penting untuk mengekalkan kestabilan negara dari semasa ke semasa. -airtimes.my
#AirTimes #TCGAnadolu #UAV #Turkiye
