KUALA LUMPUR, 6 MAC – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan semua pihak agar tidak mengambil kesempatan daripada isu sindiran terhadap agama untuk membakar sentimen perkauman dan menanam bibit kebencian dalam kalangan rakyat.
Setiausaha Akhbar Kanan Perdana Menteri, Tunku Nashrul Abaidah berkata Anwar sedar bahawa wujud usaha jahat sesetengah pihak yang berkepentingan yang cuba menanam persepsi ‘double standard’ dalam mengambil tindakan.
“Ini tuduhan liar yang tidak ada asas sama sekali. Sesiapa pun yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa,” menurut kenyataan taklimat harian Pejabat Perdana Menteri (PMO), pada Khamis.
Tunku Nashrul menegaskan tuduhan dan persepsi kononnya kerajaan berdiam apabila agama Islam dihina adalah ‘fitnah dan tidak berasas’.
Tindakan tegas terhadap penghinaan Agama
Sebagai bukti ketegasan kerajaan, beberapa contoh kes penghinaan agama telah disebut, antaranya:
1.Apabila kalimah Allah dipersenda melalui penjualan stokin, syarikat dan pembekal masing-masing didenda RM60,000;
2.Seorang lelaki persenda perkataan “Allah” didenda RM12,000 dan dipenjara 6 bulan;
3.Peniaga jagung bakar letak notis perkauman, didenda RM400;
4.Harith Iskander dan Cecelia Yap masing-masing didenda RM10,000.
Beliau turut menegaskan bahawa sesiapa sahaja yang menghina mana-mana agama di Malaysia akan tetap disiasat dan didakwa mengikut undang-undang sedia ada.
“Dalam kes yang saya senaraikan tadi, jelas semuanya disiasat, didakwa, dan akhirnya dihukum dan kesemua tindakan tersebut adalah berasaskan peruntukan undang-undang sedia ada dan setiap kes yang ada punca pelaporan akan melalui jalur proses dan hukum negara,” ujarnya lagi.
Perdana Menteri seru rakyat bersatu
Perdana Menteri turut mengingatkan rakyat Malaysia agar menghentikan budaya menghina agama, budaya, dan kaum, terutamanya dalam suasana negara yang sedang berkembang pesat.
“Usah biarkan hal-hal remeh merobohkan kekuatan dan keunikan kita tatkala negara sedang berkembang dan berada pada trajektori yang baik,” tegasnya.-airtimes.my
#semasa #airtimes #Anwar #hina #Islam #Anwar