Home DiskusiKolumnis: Semenyih dan kegiatan komunis semasa Darurat

Kolumnis: Semenyih dan kegiatan komunis semasa Darurat

by M.Daim
A+A-
Reset

Nota dari penulis: Artikel ini tiada kaitan dengan isu ukiran batu wajah Mao Zedong serta nukilan puisi di sebuah memorial di Semenyih, Selangor yang masih dalam siasatan polis. Ia hanya satu imbasan sejarah.


 

Satu foto dengan bertajuk ‘Perarakan Anti Komunis di Pekan Semenyih 1952’ yang tersimpan di Arkib Negara Malaysia merupakan antara foto zaman Darurat yang kerap dilihat.

 

Foto ini sering menghiasi buku sejarah, buku teks, malah dipamerkan di muzium.

 

Semasa dirakam, foto itu menunjukkan sekumpulan penduduk Semenyih merangkumi pelbagai kaum menyatakan sokongan mereka kepada kerajaan pada waktu itu dan menentang kegiatan komunis.

 

Selain foto ini ada juga foto peristiwa yang sama tetapi dirakam pada sudut (angle) berbeza.

 

Mengapa? Ini kerana pada waktu tersebut kegiatan pengganas komunis sangat aktif termasuk tindakan subversif oleh anasir-anasir bawah tanah.

 

Serangan dan pembunuhan kejam ke atas penduduk yang dikatakan tidak menyokong kegiatan komunis dilakukan sebagai tindak balas.

 

Menerusi carian daripada sumber terbuka, banyak artikel dan keratan berita menceritakan tentang keganasan pengganas komunis di Semenyih dan kawasan sekitarnya semasa Darurat terutama pada tahun 1948 hingga 1950.

 

Semenyih, sebuah mukim dalam daerah Hulu Langat, Selangor dengan keluasan 95.57 kilometer persegi dibuka orang-orang Melayu seawal abad ke-18.

 

Daerah besarnya adalah Hulu Langat yang mana Semenyih merupakan antara tujuh mukim di dalamnya.

 

Perkembangan Semenyih mula pesat pada era kolonial terutamanya dengan pembukaan ladang getah dan aktiviti perlombongan bijih timah.

 

Sepertimana kebanyakan kawasan di Tanah Melayu ketika itu, kegiatan ekonomi menyaksikan kedatangan imigran serta peneroka dari negeri-negeri lain.

 

Semasa zaman Darurat (1948–1960), Semenyih merupakan salah satu kawasan yang terkesan dengan kegiatan komunis di Tanah Melayu.

 

Kedudukannya yang berhampiran dengan hutan dan ladang getah menjadikan Semenyih sesuai untuk pergerakan gerila-gerila Parti Komunis Malaya (PKM).

 

Kebanyakan mukim di Hulu Langat merupakan kawasan aktif dengan kegiatan komunis semasa Darurat selain Semenyih seperti Kajang, Ulu Semenyih dan Ulu Langat.

 

Ladang-ladang getah dan lombong di Semenyih sering menjadi sasaran sabotaj, kerana getah dan bijih timah merupakan sumber ekonomi utama British.

 

Para pekebun kecil dan peladang terpaksa membayar ‘cukai perlindungan’ kepada komunis bagi mengelakkan serangan.

 

Berdasarkan carian menerusi sumber terbuka tentang sejarah Semenyih dan kegiatan komunis semasa Darurat menjumpai nama Kampung Kachau (Kampung Sungai Lalang).

 

Di dalam peta Kampung Sungai Lalang lebih dikenali sebagai ‘Kachau’ sahaja.

Kawasan ladang getah seringkali menjadi sasaran pengganas komunis pada satu ketika dahulu.

Nama ini diberi kerana kekacauan semasa zaman Darurat di Semenyih. Ramai dalam kalangan penduduk setinggan di sini yang bersimpati dan menjadi ahli MPAJA dan PKM.

 

Leftenan General Sir Harold Rawdon Briggs yang dilantik sebagai Pengarah Gerakan menentang pengganas komunis mengklasifikasikan Kampung Kachau sebagai kawasan komunis yang aktif.

 

Tambahan pula sejak 30 Oktober 1948, bilangan setinggan Cina meningkat secara mendadak di Semenyih.

 

British telah mengadakan ‘operasi menyoal siasat di Kampung Kachau ‘ pada 20 Julai 1948 melibatkan rumah-rumah setinggan yang disyaki menjadi rumah persembunyian komunis.

 

Ia sebagai tindak balas serangan komunis yang membakar rumah dan gudang getah di sebuah ladang di Ulu Semenyih

 

Tentera British bertindak membakar Kampung Kachau dan memindahkan penduduknya ke kampung baru.

 

Satu catatan sejarah menarik bertulis:

 

“Kampung Kachau ini disyaki menjadi tempat persembunyian komunis. Di belakang Kampung Kachau ada sebuah bukit dan dijadikan sebagai kubu komunis. Kini tempat tersebut dijadikan Tanah Perkuburan Nirwana, Semenyih.”

 

Dasar kampung baru yang diperkenalkan Briggs juga menyaksikan empat lokasi dijadikan penempatan semula setinggan Cina di Semenyih seperti Kampung Baru Semenyih,

Kampung Baru Beranang, Kampung Baru Broga dan Kampung Baru Rinching.

 

Kampung-kampung baru ini dipagar dengan kawat berduri serta dikawal oleh pasukan keselamatan.

 

Pemindahan ini bukan sahaja memutuskan sokongan, malah memastikan penduduk Cina dari kawasan-kawasan terpencil tidak diugut oleh komunis untuk memberi maklumat dan bekalan makanan serta ubat-ubatan.

 

Ditemui juga catatan sejarah bertulis:

 

“Pada 1950 seramai 60 penduduk setinggan sekitar Semenyih telah ditahan oleh pihak polis atas tuduhan kerana memberi bantuan kepada komunis.

 

“Mereka merahsiakan maklumat tentang pergerakan komunis di Semenyih. Sebaliknya mereka memberi pelbagai jenis bantuan secara sukarela kepada pengganas komunis.”

 

Keganasan dan kekejaman komunis di Semenyih khususnya kepada pekerja-pekerja estet getah dan lombong-lombong bijih timah telah menjadikan kehidupan masyarakat

ketika itu dalam ketakutan.

 

Kegiatan subversif ini telah menggugat aktiviti ekonomi.

 

Semenyih hari ini, yang letaknya cuma 32 kilometer dari Kuala Lumpur dan 26km dari Putrajaya telah membangun dengan kawasan perumahan dan industri, berbeza semasa Darurat. – airtimes.my

 

#AirTimes #Malaysia #kolumnis #Sejarah

Related Articles

Leave a Reply