Home Pertahanan dan Keselamatan ATM pastikan aset usang kekal berfungsi melalui penyelenggaraan ketat – Menteri Pertahanan

ATM pastikan aset usang kekal berfungsi melalui penyelenggaraan ketat – Menteri Pertahanan

A+A-
Reset

KUALA LUMPUR, 3 Sept – Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan bahawa status aset ketenteraan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak ditentukan semata-mata berdasarkan usia, sebaliknya bergantung kepada tahap penyelenggaraan serta pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Beliau berkata, meskipun terdapat aset pertahanan yang sudah lama digunakan, ia masih mampu berfungsi dengan baik dan selamat sekiranya diselenggara secara rapi, meliputi pemeriksaan rutin, penggantian komponen haus serta ujian prestasi.

“Dengan adanya sistem penyelenggaraan yang terperinci dan pematuhan prosedur, ATM memastikan peralatan ketenteraan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi cabaran,” katanya di Dewan Negara pada Selasa.

Beliau mengulas kebimbangan yang dibangkitkan oleh Senator Baharuddin Ahmad dan Senator Hussin Ismail berhubung aset-aset ketenteraan yang usang dan lama.

Mengulas khusus mengenai aset Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), beliau memaklumkan kementerian sedang melaksanakan penggantian pesawat Hawk kepada FA-50, menaik taraf pesawat C-130, menambah aset pesawat Multi-Role Combat Aircraft (MRCA) serta menggantikan helikopter Nuri dengan helikopter moden termasuk Eurocopter EC725, AgustaWestland AW139 dan AW149.

Menurutnya, memandangkan kos perolehan aset baharu adalah tinggi, pendekatan strategik kementerian adalah mengekalkan aset utama melalui proses naik taraf dan pemanjangan hayat, sambil beralih secara beransur-ansur kepada platform moden.

“Dengan cara ini, kesiapsiagaan ATM dapat terus terpelihara tanpa mengorbankan keberkesanan pertahanan negara,” ujarnya lagi.-airtimes.my

#airtimes #pertahanan #aset #ATM #Malaysia

Leave a Reply