KUALA LUMPUR, 5 Dis – Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mempersoalkan sama ada Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT), telah mengguna pakai pendekatan pelupusan aset sebagai sebahagian daripada rancangan penstrukturan baharunya untuk menjana aliran tunai dan mengurangkan keberhutangan.
Dalam sesi pembentangan laporan PAC kepada Parlimen, Ahli Parlimen Kapar, Halimah Ali (Perikatan Nasional), menimbulkan kebimbangan terhadap 2 transaksi utama membabitkan syarikat induk LTAT, Boustead Holdings Bhd, melalui anak syarikatnya hartanahnya Boustead Properties Bhd dan Boustead Plantations Bhd.
Beliau berkata, pada 7 November lalu, Boustead Properties mengumumkan pelupusan 10 petak tanah di Semenyih, Selangor, dengan nilai RM742 juta kepada pemaju hartanah Eco World Development Group Bhd melalui anak syarikat Mutiara Balau Sdn Bhd, yang dimiliki 81% oleh Boustead Properties.
Selain itu, LTAT juga dilaporkan bercadang untuk menjual tanah ladang milik Boustead Plantations di Batu Kawan, Pulau Pinang, kepada Ideal Properties Bhd.
“Dua bidang tanah ladang telah disyorkan untuk kekal di bawah Boustead Properties dalam rancangan penstrukturan semula LTAT sebelum ini,
“Adakah pelupusan tanah dan aset oleh LTAT merupakan pendekatan baharu bagi penstrukturan semula bagi menjana aliran tunai dan mengurangkan keberhutangan untuk Boustead?” ujarnya lagi.
Halimah menegaskan, jika ini langkah penyelesaiannya PAC berpandangan bahawa pendekatan ini bersifat ‘jangka pendek’ yang boleh menjejaskan nilai aset LTAT.
Langkah ini juga ujarnya tidak akan merungkai permasalahan LTAT untuk tempoh jangka maasa panjang.
Ahli PAC ini juga menegur tindakan LTAT yang dilihat melakukan urusan pelupusan aset tanpa pengumuman rasmi kepada umum, berbeza dengan rancangan penstrukturan semula terdahulu, MAMPAN25, yang kini dihentikan.
Justeru, Halimah menggesa Kementerian Pertahanan dan pihak pengurusan LTAT untuk memberikan maklumat yang lebih jelas dan komprehensif dalam prosiding yang akan datang tahun depan, serta menjawab cadangan-cadangan yang telah diketengahkan PAC dalam laporannya.
Pada 19 November lalu, PAC juga mengeluarkan laporan yang mendesak LTAT untuk segera memulakan transformasi, kerana kegagalan untuk bertindak boleh menyebabkan pembubaran aset-aset dana pencen yang penting.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #LTAT #PAC #aset #Mindef #Malaysia