Sedang Malaysia masih menunggu lampu hijau Amerika Syarikat (AS) bagi mendapatkan pesawat terpakai Hornet Legacy dari Kuwait, situasi sebaliknya di negara Asia Selatan, Bangladesh.
Bangladesh bakal memuktamadkan keputusan untuk membeli pesawat tempur Dassault Rafale buatan Perancis, sekiranya benar ini sudah pasti melonjakkan kuasa udaranya.
Mutakhir, Perancis dipercayai giat meneruskan perbincangan dengan Bangladesh bagi penjualan pesawat tempur Rafale F3-R dan F4 Dassault Aviation.
Mengikut perancangan, empat pesawat Rafale F3-R milik Tentera Udara Perancis ingin diperolehi diikuti pembelian 12 pesawat Rafale F4.
Jika dibeli, ini melebarkan lagi kedudukan Dassault Rafale sebagai antara pesawat tempur buatan Eropah yang popular.
Kerajaan sementara Bangladesh diketuai Perdana Menteri, Mohammad Yunus dikatakan mahu program pemodenan Tentera Udara Bangladesh (BAF) berjalan sepertimana dirancang.
Ini demi meningkatkan keupayaan pertahanan udara, kuasa serangan maritim dan operasi serangan balas.
Walaupun pada pandangan kebanyakan pihak di sini bahawa Bangladesh nampak mundur atau terkebelakang, sebaliknya ia tidak sebegitu.
Sepertimana Malaysia, negara Asia Selatan yang menjadi sumber tenaga buruh asing kedua terbesar ke sini rancak melaksanakan pemodenan angkatan tentera.
Hasrat Bangladesh untuk meningkatkan tentera udaranya telah dirancang sejak empat tahun lalu yang mana ada beberapa pesawat dipertimbangkan.
Perolehan pesawat tempur ini berikutan cadangan BAF untuk memodenkan angkatan tenteranya di bawah Forces Goals 2030.
BAF pada 2021 telah memutuskan untuk membeli sama ada pesawat tempur Eurofighter Typhoon dan Dassault Rafale bagi program pesawat pelbagai peranan (MRCA) dengan peruntukan kira-kira AS$3 bilion.
Bagaimana pun, rancangan pemodenan BAF tergendala disebabkan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
Bangladesh yang berstatus negara berpendapatan sederhana secara perlahan-lahan tetapi konsisten dilihat sedang membangunkan keupayaan tenteranya sebagai sebuah angkatan konvensional.
Menerusi program Forces Goal, rancangan pemodenan selama lima tahun angkatan tentera Bangladesh ini membabitkan peruntukan kira-kira AS$5.2 bilion.
Sekiranya ruang angkasa Bangladesh suatu masa nanti bergema dengan lintas terbang pesawat-pesawat Dassault Rafale atau Eurofighter Typhoon, ini sudah pasti turut membanggakan warganya di luar negara.
Kira-kira 7.5 juta warga Bangladesh menetap dan mencari nafkah di luar negara dengan jumlah terbesar di Arab Saudi, UAE, Malaysia, Oman dan United Kingdom.
Difahamkan, pada tahun lalu sahaja pekerja asing Bangladesh telah mengirim wang berjumlah AS$21.9 bilion.
Kiriman wang daripada pekerja Bangladesh juga menjadi sebahagian daripada punca pendapatan keluarga di sana.
Di Malaysia sahaja dianggarkan terdapat 800,000 pekerja berbanding kira-kira 221,000 orang tujuh tahun lalu.
Di atas kertas, BAF sama seperti TUDM yang mempunyai keanggotaan kira-kira 17,000 pegawai dan anggota. Daripada segi aset pesawat tempur TUDM lebih baik kerana tonggak utama BAF ialah pesawat MiG-29UB dan Chengdu J7.
Sebab itu BAF mahu menggantikan pesawat lama seperti J7 ini dengan pesawat MRCA.
Ia juga mengoperasikan pesawat C-130 bagi pengangkutan taktikal dan lebih 30 helikopter Mi-17 untuk sokongan udara.
Kelebihan BAF berbanding TUDM pula ialah ia memiliki sistem peluru berpandu pertahanan udara aras rendah FM-90 buatan China.
Jumlahnya pula banyak selain mengoperasikan manpad.
Selain pesawat MRCA, turut berada dalam senarai hasrat Bangladesh ialah perolehan helikopter penggempur.
Beberapa pesawat disebut-sebut menjadi pilihan termasuk helikopter T-129 buatan Türkiye dan Mi-28 dari Rusia.
Kemahuan pertahanan negara seperti Bangladesh sebenarnya tidak boleh diperkecilkan kerana seperti Malaysia, ia juga mempunyai pelan pembangunan angkatan tentera.
Pelan Forces Goal 2030 meletakkan matlamat menjadikan BAF sebagai angkatan yang maju dari segi teknologi, terlatih dan dilengkapi aset-aset moden.-airtimes.my
#pertahanan #airtimes #Bangladesh #Malaysia #airtimes
