Home Pertahanan dan Keselamatan Baru pulang bercuti dari tanah air, pranita Malaysia gugur di bumi Lubnan

Baru pulang bercuti dari tanah air, pranita Malaysia gugur di bumi Lubnan

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 19 MEI – Seorang anggota tentera Malaysia dilaporkan meninggal dunia di Lubnan, hari ini.

Perkara tersebut disahkan oleh Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada hari ini.

Menurut kenyataan itu, Sarjan Faridah Abd Rahman disahkan meninggal dunia di Lubnan oleh pegawai perubatan MALBATT 850-11 pada 18 Mei 2024 (Sabtu) jam 2.25 pagi waktu Lubnan atau jam 7.25 pagi waktu Malaysia.

“Beliau rebah setelah turun dari bas di Kem Marakah. Allahyarhamah pada ketika itu baru pulang ke Lubnan setelah selesai bercuti di Malaysia,

“Jenazah Allahyarhamah akan dihantar Ke Hospital Hammoud, Saida untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian. Proses bedah siasat tersebut akan dilaksanakan pada 19 Mei 2024 (Ahad) jam 10.30 pagi waktu Lubnan atau jam 3.30 petang waktu Malaysia,” kata kenyataan itu.

Menurut Markas Angkatan Tentera Malaysia, urusan penghantaran pulang jenazah Allahyarhamah ke Malaysia akan diuruskan oleh pihak Markas Angkatan Bersama.

Allahyarhamah telah mendirikan rumah tangga serta mempunyai 4 orang anak iaitu tiga orang anak perempuan dan seorang anak lelaki berusia antara 4 hingga 10 tahun.

Allahyarhamah merupakan anak kelahiran Pendang, Kedah dan berusia 39 tahun. Beliau telah menyertai perkhidmatan Tentera Darat Malaysia semenjak tahun 2007 dan ditugaskan dalam Kor Agama Angkatan Tentera (KAGAT).

Beliau sebelum ini bertugas sebagai Penyelia Kanan Hal Ehwal Islam di Batalion Ke-19 Rejimen Askar Melayu Di Raja (MEKANIZE), Kem Lapangan Terbang, Sungai Petani, Kedah sebelum di atur gerak menyertai Misi MALBATT 850-11 UNIFIL. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply