Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Dah beribu komando dilahirkan, kalau mereka boleh saya pun mampu – Leftenan Muda Mujahid

Dah beribu komando dilahirkan, kalau mereka boleh saya pun mampu – Leftenan Muda Mujahid

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 2 Mei – “Kalau kita tengok dah beribu dah komando dilahirkan. Jadi kalau mereka boleh (lulus), saya juga mampu,” luah Leftenan Muda Ahmad Mujahid Siddiq Ahmad Rizal, 25.

Lebih menggembirakan apabila beliau turut dinobatkan sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik bagi Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024.

Anak jati Kuala Kangsar ini menjelaskan, beliau tekad mencabar dirinya untuk menyertai komando apabila ‘terinspirasi’ dengan seorang jurulatih yang merupakan pegawai dari Gerup Gerak Khas (GGK).

“Saya terinspirasi dengan dia (jurulatih). Dengan semangat juang yang tinggi, ilmu-ilmu yang dia bagi sangat banyak, dari situ saya terinspirasi,

“Dan saya ingin mencabar diri saya untuk menjadi salah seorang anggota yang terbaik di antara yang terbaik,” jelasnya kepada Air Times.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Sukan dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam turut berkata, fasa yang paling sukar dalam kursus ini adalah fasa Jalan Jauh (Long March).

“Dimana kami sebagai penuntut perlu berjalan sejauh 160 kilometer (km). Fasa ini memang menguji tahap fizikal dan mental penuntut,

“Ramai penuntut yang kecundang di fasa ini dan tidak dapat menghabiskan kursus ini,” ujarnya lagi.

Kedua ibu bapa merupakan sumber kekuatan dan tulang belakang utama saya sepanjang 3 bulan untuk menghabiskan Kursus Asas Komando ini – Leftenan Muda Ahmad Mujahid Siddiq Ahmad Rizal, 25. Foto: AirTimes/Ashraf

Ibu bapa, rakan seperjuangan sumber kekuatan

Mengulas lanjut, Ahmad Mujahid menjelaskan, kedua ibu bapanya adalah sumber kekuatan dan tunjang utama sepanjang menumpuh kepahitan 3 bulan itu.

“Seperti mana yang kita tahu, kursus ini adalah yang paling susah dalam Tentera Darat Malaysia (TDM). Waktu awal memang berat hati seorang ibu dan ayah untuk melepaskan anaknya untuk menyertai kursus ini,

“Akan tetapi selepas saya menjelaskan hasrat hati saya, Alhamdulillah ibu bapa saya mengikhlaskan saya untuk pergi ke kursus dan menghabiskan kursus ini,

“Kerjaya komando bukannya sesuatu yang mudah dan penuh dengan cabaran, jadi saya berharap saya mendapat semangat juang daripada rakan-rakan seperjuangan saya untuk membantu saya dalam kerjaya ini. Dan saya berharap doa ibu bapa saya mengiringi saya sepanjang kerjaya ini,” ujarnya lagi.

Penyambung legasi keluarga

Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi. Itulah perumpamaan yang boleh diberikan untuk Ahmad Mujahid yang turut menyambung legasi keluarganya dimana, ibu bapa dan datuknya juga merupakan seorang anggota tentera.

Pegawai Waran II (B) Ahmad Rizal Shazali, 55, meluahkan rasa bersyukur apabila anak keduanya itu menyertai TDM dan kini bergelar seorang anggota Gerak Khas.

Hampir 30 ahli keluarga Leftenan Muda Ahmad Mujahid hadir pada Upacara Penutup Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 yang diadakan di Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka, baru-baru ini. Foto: AirTimes/Ashraf

“Saya pesara tentera, ibunya pun bekas tentera, jadi mungkin inspirasi dari kami yang bertugas serta darah daripada kami sebagai tentera. Datuk dia pun tentera,

“InsyaAllah saya memang harapkanlah ada penyambung legasi dalam keluarga kami,” ujar pesara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) itu.

Sementara itu, Saripah Suria Kamis, 52 turut meluahkan rasa bersyukur dan bangga dengan pencapaian yang dikecapi oleh anak lelakinya itu.

“Mula-mula cita-cita dia (Ahmad Mujahid) nak jadi cikgu, lepas itu dia cakap, mana yang abang dapat dulu, abang nak masuk. Jadi, dia dapat tentera dulu, dia masuk,

“Takpelah kita benarkan, lepas itu bila dia dah masuk kadet, takpelah kita support, Okey lagi. Lepastu dia kata, ‘ummi nak masuk komando pulak’,

“Memanglah mula-mula kita rasa betul ke, kita tanya dia balik, betul ke? Dia pun kata, betul umi. Kalau betul, kita restu, kita doa semoga dia berjaya. Harapan saya semoga anak saya Lt Muda Mujahid, dalam kerjaya apa saja yang dia buat semuanya kerana Allah, buat yang terbaik kerana Allah,” jelasnya lagi.

Seramai 9 pegawai dan 60 anggota TDM telah disarungkan dengan beret hijau serta dianugerahkan Dagger komando setelah menempuhi keperitan selama 12 minggu sekali gus bergelar warga GGK. Foto: AirTimes/Ashraf

Lt Muda Mujahid antara 9 pegawai dan 60 anggota TDM telah disarungkan dengan beret hijau serta dianugerahkan Dagger komando setelah menempuhi keperitan selama 12 minggu sekali gus bergelar warga GGK.

Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima 21 GGK, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah di Pantai Betutu Laut, Pusat Latihan Peperangan Khusus (PULPAK), Kem Sungai Udang, Melaka. -airtimes.my

 

Related Articles

Leave a Reply