Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Panglima Tentera Darat rai lebih 500 anggota bertugas di sempadan sempena Aidilfitri

Panglima Tentera Darat rai lebih 500 anggota bertugas di sempadan sempena Aidilfitri

by Nurulhuda

GERIK, 15 Apr – Kesedihan anggota tentera yang tidak dapat meraikan perayaan bersama keluarga sempena Aidilfitri sedikit terubat apabila Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan turut berkongsi kemeriahan perayaan tersebut di Kem Sri Banding, hari ini.

Kehadiran beliau dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri di kem itu adalah untuk menyambut perayaan bersama lebih 500 pegawai dan anggota yang sedang bertugas terutama di kawasan operasi Kota Echo/Foxtrot.

Muhammad Hafizuddeain ketika menyampaikan ucapannya mengingatkan semua anggota yang terlibat dalam operasi agar sentiasa memberikan komitmen yang tinggi terhadap tugasan yang telah diamanahkan.

“Menjadi tanggungjawab setiap anggota tentera mengutamakan tugas diamanahkan mengatasi segalanya demi menjaga keselamatan negara,

“Semua lapisan anggota harus sentiasa bersikap profesional dalam menentukan tahap keselamatan dan kesiagaan di persempadanan negara sentiasa terjamin pada setiap masa,” katanya.

Beliau turut melahirkan penghargaan kepada perajurit yang tetap bertugas dalam operasi bagi menjaga keselamatan negara ketika seluruh rakyat menyambut Aidilfitri.

Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan melahirkan penghargaan kepada para perajurit yang tetap bertugas menjaga keselamatan negara ketika rakyat menyambut Aidilfitri. -Foto: Airtimes/N.Huda

“Kepada anggota yang beroperasi, saya ucapkan syabas kepada saudara sekalian kerana kental dan terus cekal untuk melaksanakan tugas dalam kesibukan orang lain menyambut hari raya bersama keluarga,

“Ini perkara yang lumrah atau kelaziman bagi kita yang berkhidmat dalam angkatan tentera,” ujarnya lagi.

Terdahulu beliau turut menyampaikan beg dan bungkusan Aidilfitri kepada anggota tentera yang sedang bertugas.

Panglima Tentera Darat turut berkesempatan melakukan tinjauan di Forward Operating Base (FOB) November dalam memastikan keselamatan sempadan daratan Malaysia-Thailand sentiasa pada tahap mampu beroperasi.

Hadir sama dalam majlis tersebut adalah Panglima Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat (PMTTD), Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi dan Panglima Pemerintahan Medan Barat Tentera Darat (PMBTD), Leftenan Jeneral Datuk Pahlawan Muhammad Huzaimi Sabri. -airtimes.my

#PTD #TDM #operasi #aidilfitri #pertahanan #airtimes

Related Articles

Leave a Reply