KENINGAU, 8 Apr – Berjauhan daripada keluarga tersayang ketika Aidilfitri pedih untuk ditempuhi, namun itulah pengorbanan yang terpaksa dilakukan anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).
Meskipun menanggung rindu, anggota 26 RAMD bawah pemerintahan Divisyen Kelima Infantri (5 Divisyen) yang ditemui di Markas Taktikal Keningau di sini lebih mengutamakan tanggungjawab menjaga keselamatan negara di sempadan Malaysia-Indonesia.
“Bersama keluarga di Aidilfitri dan di perbatasan suasana berbeza, dengan pakaian pun berbeza juga. Tetapi kita raikan dan boleh juga menghubungi keluarga ketika sambutan ini, jadi terubat hati.
“Apapun ini sesuatu yang saya lakukan bagi mendukung tanggungjawab menjaga keselamatan negara,” kata Pegawai Pemerintah 26 RAMD, Lt Kol Mohd Fuad Md Ghazali.
Anak jati Bagan Datuk, Perak itu berkata selama 30 tahun bertugas, beliau pernah beberapa kali menyambut Aidilfitri di kem tentera, namun ini kali pertama beraya di perbatasan sebagai barisan hadapan.
Pasukan 26 RAMD sedang melaksanakan Op Balasah sejak tiga bulan lepas di sempadan melibatkan 12 pos kawalan antaranya di Serudong dan Long Pasia dengan pusat operasi di Markas Taktikal Keningau, bagi mengekang anasir buruk termasuk jenayah rentas sempadan.
Kapten (Dr) Nur Alia Syuhada Zakaria yang kali pertama meraikan 1 Syawal di perbatasan berkata, persahabatan erat dijalin bersama anggota pasukan itu dari Kem Kukusan, Tawau, yang majoritinya lelaki, menjadikan suasana perayaan meriah dan mesra.
“Wanita, lelaki kita sama-sama susah senang sebagai satu pasukan. Seronok di sini tetapi sudah tentu ada sedih juga kerana ibu bapa saya jauh di Kelantan.
“Ibu bapa reda dengan tanggungjawab saya laksanakan di sini dan berpesan supaya jaga diri baik-baik,” katanya berasal dari Kota Bharu dan baru empat tahun bergelar soldadu.
Katanya, ketupat daun palas berinti daging merupakan juadah yang dirinduinya kerana amat sukar ditemukan di Sabah.
Pegawai Waran I Ismail Mohamad berkata, walaupun di perbatasan, beliau bersama anggotanya tetap menghias markas serta memasak hidangan seperti ketupat, rendang dan lemang.
“Ibu jauh di Kedah, bila telefon beritahu sedih anak jauh di Sabah tetapi faham tanggungjawab saya di sini, anak isteri saya pun di Tawau (Kem Kukusan) tidak bersama ketika sambutan ini, tetapi anggota 26 RAMD bagaikan adik-beradik, kita sambutnya bersama,” katanya sambil menambah ini pengalaman sulungnya menyambut lebaran di sempadan.
Beliau yang berasal dari Baling dan telah berkhidmat selama 22 tahun, berpesan supaya rakyat menghargai pengorbanan anggota tentera dengan memelihara keharmonian penduduk berbilang latar belakang.
Panglima 5 Divisyen, Mej Jen Datuk Malek Razak Sulaiman berkata, sambutan Aidilfitri diadakan bagi menaikkan semangat anggota 26 RAMD dan beliau turun padang bagi melihat sendiri persiapan.
Mengharungi 42 tahun perit getir sebagai askar termasuk bertugas di sempadan Malaysia-Thailand, beliau amat memahami perasaan anak buahnya.
“Dahulu sambut Aidilfitri di perbatasan lebih mencabar kerana tiada kemudahan komunikasi dengan keluarga seperti sekarang.
“Kad raya menjadi pengubat rindu dan kami semua tunggu bila ada hantar bekalan sampailah kad itu. Lagu raya pun tiada ketika itu kerana radio dulu tidak macam sekarang,” ceritanya mengimbau kenangan.
Namun, tegasnya, biarpun zaman beredar, apa yang tidak berubah ialah semangat perajurit negara yang tidak pernah pudar.
“Biarpun sambut Aidilfitri di perbatasan kami sanggup, demi mempertahankan negara yang kami cintai!” katanya sekali gus mencerminkan semangat ‘Nerang Separang’ yang menjadi cogan kata divisyen itu, bermaksud ‘tangkas menggempur’ dalam bahasa Bajau. – Bernama
Berjauhan daripada keluarga tersayang ketika Aidilfitri pedih untuk ditempuhi, namun itulah pengorbanan yang terpaksa dilakukan anggota Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (26 RAMD).
#pertahanan #aidilfitri #TDM #airtimes #hariraya