Home Semasa Polis terima 2 laporan berhubung tindakan, ucapan Ketua Pemuda UMNO – KPN

Polis terima 2 laporan berhubung tindakan, ucapan Ketua Pemuda UMNO – KPN

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 5 Apr – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan menerima 2 laporan polis berkaitan ucapan dan tindakan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhammad Akmal Saleh berhubung isu stoking tertera kalimah Allah yang dijual di kedai serbaneka KK Mart.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4 (1) Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

“Siasatan telah dijalankan ke atas beliau (Muhammad Akmal) dan kertas siasatan akan dirujuk ke Pejabat Peguam Negara setelah kesemua tindakan melengkapkan siasatan diambil,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Razarudin menasihatkan orang ramai agar tidak membangkitkan isu berkaitan stoking tertera kalimah Allah memandangkan mereka yang terlibat telah pun dituduh dan proses keadilan akan ditentukan mahkamah.

Awal pagi tadi, Dr Muhamad Akmal Saleh mengesahkan dirinya telah ditahan di Ibu Pejabat Daerah Kota Kinabalu.

“Saya ditahan di IPD Kota Kinabalu pagi ini walaupun sudah dijadualkan untuk memberi keterangan esok di IPD Dang Wangi,

“Insya-Allah saya akan berikan kerjasama sepenuhnya. Doakan semuanya dipermudahkan. Tidak akan berganjak walau seinci dengan pendirian kita,” katanya menerusi hantaran di laman media sosialnya Pada Jumaat.

Penahanan Akmal dipercayai berkait gesaannya memboikot rangkaian kedai serbaneka KK Mart susulan beberapa gambar stoking tertera kalimah Allah ditemui di cawangan di Bandar Sunway.

Sejak insiden tersebut, Akmal secra lantang menentang KK Mart walaupun pihak terbabit telah membuat permohonan maaf, tindakan undang-undang juga diambil terhadap Pengasas KK Mart KK Chai dan Pengarah Loh Siew Mui serta gesaan Agong supaya tidak memanjangkan kontroversi itu.

Sementara itu, pada Rabu lalu, Chai telah menghadap Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkaitan isu berkenaan.

Sultan Ibrahim bertitah menekankan, agar semua pihak termasuk KK Mart lebih berhati-hati terhadap produk yang dijual khususnya barangan import bagi mengelakkan perkara sedemikian berulang.

“Sekali lagi menegaskan jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan ke atas perkara tersebut, termasuk menghasut rakyat,

“Saya tidak mahu perkara ini berlarutan,” titah Seri Paduka Baginda.-airtimes.my

#airtimes #semasa #stoking #KKMart #Malaysia

Related Articles

Leave a Reply