KUALA LUMPUR, 4 Apr – Malaysia dan Indonesia menyatakan komitmen untuk terus mengukuhkan kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.
Kementerian Pertahanan (MINDEF) memaklumkan, komitmen itu dizahirkan susulan kunjungan hormat Menteri Pertahanan merangkap Presiden Terpilih Indonesia, Prabowo Subianto ke atas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di Wisma Pertahanan, hari ini.
Menurut MINDEF, Mohamed Khaled juga telah menyatakan keyakinannya terhadap pengalaman luas dan inisiatif yang dibawa Prabowo, terutama dalam bidang pertahanan yang akan memberi kesan positif terhadap kestabilan dan keselamatan serantau.
“Kedua-dua Menteri yakin bahawa kerjasama yang kukuh akan memastikan pelaksanaan aktiviti sedia ada dan akan datang dapat terus dilaksanakan, seterusnya membawa hubungan pertahanan negara Malaysia dan Indonesia ke tahap yang lebih tinggi,” jelas MINDEF dalam satu kenyataan.
Tambah MINDEF, pertemuan ini merupakan julung kali diadakan antara mereka sejak Mohamed Khaled menjawat jawatan sebagai Menteri Pertahanan Disember tahun lepas.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohamad Ab Rahman dan Panglima-Panglima Perkhidmatan.
Kementerian Pertahanan memaklumkan Mohamed Khaled turut mengucapkan tahniah kepada Prabowo yang dipilih sebagai Presiden Indonesia baharu berdasarkan keputusan rasmi Pemilihan Umum Indonesia 2024 baru-baru ini.
Prabowo tiba Pangkalan Udara Subang malam tadi bagi memulakan lawatan khas sehari beliau ke Malaysia. Prabowo turut mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Perdana Putra, Putrajaya, pagi tadi. -airtimes.my
Mohamed Khaled menyatakan keyakinannya terhadap pengalaman luas dan inisiatif yang dibawa Prabowo, terutama dalam bidang pertahanan yang akan memberi kesan positif terhadap kestabilan dan keselamatan serantau.
#Malaysia #Indonesia #pertahanan #Probowo #airtimes