KUALA LUMPUR, 4 Apr – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu, Selangor diadakan pada 11 Mei ini.
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei 2024 (Selasa).
Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing ditetapkan pada 27 April (Sabtu) dan 7 Mei (Selasa).
Mesyuarat turut dihadiri Timbalan Pengerusi SPR Azmi Sharom dan Setiausaha SPR Ikmalrudin Ishak.
Mesyuarat khas itu diadakan selepas SPR menerima pemakluman rasmi daripada Speaker DUN Selangor Lau Weng San berhubung kekosongan luar jangka kerusi itu.
Kerusi DUN Kuala Kubu Baharu kosong susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, pada 21 Mac lepas.
Lee, 58, yang menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baharu bawah parlimen Hulu Selangor sejak 2013 meninggal dunia selepas bergelut melawan kanser sejak beberapa tahun.
PRK Kuala Kubu Baharu merupakan PRK ketujuh yang diadakan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 2022.
Mengulat lanjut, Abdul Ghani berkata, seramai 760 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses pengundian di 20 buah pusat mengundi.
Tambahnya, secara keseluruhan PRK Kuala Kubu Baharu memerlukan peruntukan RM2.5 juta.
Menurutnya, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) bagi PRK Kuala Kubu Baharu adalah sebanyak 40,226 orang terdiri daripada 39,362 pengundi biasa, 625 anggota polis, 238 anggota tentera dan pasangan serta seorang pengundi tidak hadir luar negara.
DPPR bagi PRK tersebut akan mula dijual pada 22 April ini.
“Pengundi boleh membuat semakan untuk mengetahui maklumat pusat mengundi, saluran mengundi dan nombor bilangan melalui portal semakan di pautan https://mysprsemak.spr.gov.my atau hubungi Hotline SPR di talian 03-8892 7018/7218/7124 atau melalui aplikasi MySPR Semak bermula 22 April ini,
“SPR menyeru bakal calon yang bertanding dalam PRK Kuala Kubu Baharu supaya mengisi dan membuat semakan awal pengisian borang dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Selangor sebelum hari penamaan calon bagi memudahkan proses penamaan calon,
“Bakal calon juga digalakkan membuat pembayaran deposit lebih awal untuk memastikan semua proses penamaan calon dapat diselesaikan lebih awal dan berjalan lancar,” ujarnya lagi.
Dalam masa yang sama, beliau turut menasihati pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab mereka pada hari mengundi.
“SPR akan melaksanakan kempen ‘Jom Kita Undi` melalui pelbagai saluran media termasuk di media elektronik, media sosial, hebahan melalui siar raya dan pemasangan kain rentang di lokasi-lokasi strategik tumpuan awam dan tempat-tempat lain yang bersesuaian,” jelasnya lagi. -airtimes.my
#PRK #SPR #KualaKubuBaru #semasa #malaysia