Home Pertahanan dan Keselamatan Lebih 2,000 anggota ATM diberhentikan kerana masalah dadah dan jenayah

Lebih 2,000 anggota ATM diberhentikan kerana masalah dadah dan jenayah

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 29 Mac – Seramai 2,079 anggota dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah diberhentikan sebelum tempoh perkhidmatan minimum kerana masalah dadah, jenayah dan disiplin serta tinggal tugas.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sebagai tonggak benteng pertahanan negara, pihak ATM sentiasa menekankan keterampilan dan tahap disiplin yang tinggi.

“Justeru, tindakan pemberhentian atas kesalahan tatatertib ini menunjukkan bahawa pihak ATM tidak akan berkompromi dengan sebarang bentuk kesalahan disiplin yang boleh mencemarkan kredibiliti dan nama baik Perkhidmatan,” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan dari Datuk Sri Ikmal Hisham Abdul Aziz [Tanah Merah] mengenai jumlah anggota ATM dari ketiga-tiga cabang perkhidmatan (Laut, Darat dan Udara) yang ditamatkan perkhidmatan sebelum tempoh perkhidmatan minimum akibat daripada masalah dadah, jenayah dan disiplin serta berapa jumlah anggota yang lari dari tugas (dari tahun 2020 hingga 2024).

Mengulas lanjut, Khaled berkata, perkhidmatan asas/minimum yang wajib bagi anggota adalah selama 12 tahun dari tarikh mula menjalani latihan rekrut.

Seterusnya, anggota LLP boleh memohon untuk Pertugasan Semula Perkhidmatan ke-15 tahun, 18 tahun dan 21 tahun bagi melayakkan mereka menerima Pencen Bulanan, Faedah Gantian Cuti Rehat (FGCR) dan Ganjaran Perkhidmatan.

“Selain itu, sekiranya anggota masih berminat untuk meneruskan perkhidmatan melebihi 21 tahun, mereka boleh memohon untuk Melanjutkan Perkhidmatan ke 26 Tahun dan sehingga mencapai umur 55 Tahun dengan kelulusan Majlis Angkatan Tentera (MAT),” jelasnya lagi.

Tambahnya, anggota merupakan Angkatan Tetap yang tertakluk kepada Seksyen 36 Akta Angkatan Tentera 1972 (AAT 1972).

“Mereka boleh diberhentikan atas kesalahan tatatertib berdasarkan kepada Perintah Majlis Angkatan Tentera Bilangan 3 Tahun 2018 (PMAT Bil 3 Tahun 2018) di bawah Peraturan 61 kepada Peraturan-Peraturan Angkatan Tentera (Terma-Terma Perkhidmatan Bagi Angkatan Tetap 2013),” ujarnya. -airtimes.my

#pertahanan #airtimes #ATM #disiplin #berhenti

Related Articles

Leave a Reply