Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Pegawai kanan ‘belasah’ pegawai, Tentera Darat tubuh Lembaga Siasatan

Pegawai kanan ‘belasah’ pegawai, Tentera Darat tubuh Lembaga Siasatan

by Nurulhuda

KUALA LUMPUR, 7 Mac – Tentera Darat Malaysia (TDM) akan menubuhkan Lembaga Siasatan dalaman bagi mengenal pasti punca-punca kejadian berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang Pegawai Kanan Tentera Darat yang kini bertugas di Sarawak.

Sel Perhubungan Raya, Markas Tentera Darat dalam kenyataan memaklumkan, sekiranya terbukti terdapat salah laku dan guna kuasa seperti yang di dakwa, pihak TDM akan mengambil tindakan sewajarnya mengikut peraturan dan arahan Tentera Darat sedia ada.

“TDM mengesahkan telah menerima laporan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menggunakan kekerasan oleh seorang Pegawai Kanan Tentera Darat yang kini bertugas di Sarawak,

“Organisasi ini akan menubuhkan Lembaga Siasatan peringkat dalaman untuk mengenalpasti punca-punca kejadian bagi menilai secara profesional dan terperinci berhubung dakwaan tersebut,” jelas Tentera Darat.

Semalam, tular di media sosial, laporan polis yang dibuat oleh pengadu iaitu seorang Pegawai yang mendakwa telah di tampar di bahagian kiri muka dan di tendang di bahagian perut oleh Pegawai Kanan berkenaan.

Laporan polis yang mendakwa pegawai kanan Tentera Darat telah melakukan kekerasan terhadap pegawai ketika menjalani latihan di Sarawak telah tular di media sosial semalam. Foto tular.

Kejadian itu berlaku semasa Pegawai sedang menjalani latihan peringkat formasi.

“Kekerasan itu menyebabkan pengadu mengalami kecederaan pada tisu lembut di atas mata dan blunt trauma,” ujar TDM lagi.

Menurut TDM, sebagai tindakan, pegawai kanan berkenaan telah dilepaskan daripada tugas pemerintahan bagi membolehkan Tentera Darat melaksanakan siasatan secara telus dan menyeluruh.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan memandang serius berkenaan dakwaan ini dan akan berusaha mengenal pasti punca kejadian.

Tambahnya, TDM tidak akan berkompromi terhadap pelaku jika terbukti bersalah tanpa mengira pangkat dan jawatan.

“TDM berharap agar semua pihak tidak menularkan laporan berkenaan dan tidak meninggalkan sebarang komen negatif yang boleh mengganggu proses siasatan sehingga selesai dilaksanakan,” jelas kenyataan itu lagi. -airtimes.my

#TDM #kekerasan #kuasa #dera #airtimes #pegawaikanan

Related Articles

Leave a Reply