Home Pertahanan dan KeselamatanTentera Darat Terima kasih Tentera Darat pilih Segamat sebagai lokasi hari jadi – Pengunjung

Terima kasih Tentera Darat pilih Segamat sebagai lokasi hari jadi – Pengunjung

by Nurulhuda

[embedyt] https://www.youtube.com/watch?v=HmnR4WwD6qc[/embedyt]

 

SEGAMAT, 3 Mac – “Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Tentera Darat Malaysia (TDM) kerana telah memilih Daerah Segamat sebagai lokasi sambutan Hari Tentera Darat ke-91 pada tahun ini,” ujar Haikal Md Hanafi.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah, Pejabat Kadi Daerah Segamat itu berasa teruja kerana menurutnya, ini adalah kali pertama beliau dapat melihat dengan lebih dekat tentang kesiapsiagaan aset dan keupayaan TDM.

“Saya datang bersama keluarga, dan saya rasa sangat bertuah, sebagai warga Segamat ini kali pertama acara seperti ini diadakan di Segamat,

“Dengan berlangsungnya acara seperti ini, rakyat di daerah Segamat boleh mengetahui aset-aset yang ada dalam Tentera Darat disamping itu dapat menaikan semangat anak-anak muda dan kecil apabila dapat melihat sendiri aset-aset yang ada seperti kenderaan perisai yang boleh dibanggakan sebagai rakyat Malaysia,

“Secara tidak langsung, ia juga akan menimbulkan minat kepada mereka mungkin satu hari nanti untuk menyertai perkhidmatan Angkatan Tentera Malaysia (ATM),” ujarnya kepada Air Times selepas Perbarisan Sambutan Hari Tentera Darat ke-91 di Dataran Segamat, pada Jumaat.

Penolong Pegawai Hal Ehwal Islam, Bahagian Dakwah, Pejabat Kadi Daerah Segamat, Haikal Md Hanafi berharap acara seperti ini dapat diteruskan dan dianjurkan di kawasan-kawasan terbuka bagi memudahkan kehadiran pengunjung. Foto: AirTimes/AL-Fahimie

Sambutan Hari Tentera Darat ke-91 yang diadakan di Daerah Segamat sejak Khamis itu dihadiri lebih daripada 10,000 pengunjung.

Sambutan yang bertemakan ‘Gagasan Tentera Darat dan Rakyat, Kekal Siaga’ telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Muhammad Hafizuddeain Jantan.

Selain acara perbarisan, TDM juga menyajikan pelbagai program menarik yang dibawakan khas kepada penduduk Sagamat dan sekitarnya.

Antara program tersebut ialah Pameran Kerjaya dan Aset TD, Karnival Jualan, Pemeriksaan Kesihatan Percuma, Persembahan Buskers, Program Bersama Veteran, Persembahan Tatu TD.

Perbarisan Hari Tentera Darat Ke-91 diadakan di Dataran Segamat, Johor pada Jumaat lalu. Foto: AirTimes/Huda

Selain itu, pelbagai program keagamaan termasuk Forum Perdana, bacaan Yasin, tahlil dan khutbah solat Jumaat telah diadakan di Masjid Bandar Segamat sempena sambutan itu.

Mengulas lanjut, bapa kepada 2 cahaya mata itu berkata, penganjuran acara seperti ini dapat memberi peluang kepada penduduk setempat untuk lebih mendekati pasukan keselamatan negara.

“Macam saya sendiri, saya pun tidak tahu, Tentera Darat ada bomba. Jadi, bila ada pendedahan seperti ini, barulah kami rakyat Segamat terutamanya dapat tahu kerjaya sebenar Tentera Darat itu sendiri,

“Dengan acara seperti ini, mudah-mudahan ia menjadi satu pengalaman dan pengetahuan bagi rakyat Segamat atau negeri-negeri lain yang hadir untuk lebih mendekati Tentera Darat,” ujarnya lagi.

Haikal Md Hanafi bersama isteri, Nur Syafiqah dan anak-anak sempat bergambar dengan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) yang hadir pada Perbarisan Hari Tentera ke-91, di Dataran Segamat Jumaat lalu. Foto: AirTimes/N.Huda

Beliau turut berharap, acara seperti ini dapat diteruskan dan dianjurkan di kawasan-kawasan terbuka bagi memudahkan kehadiran pengunjung.

“Harapan saya, selepas ini acara seperti ini boleh dibuat di kawasan-kawasan lain atau negeri-negeri lain. Biar acara seperti ini dibuat di kawasan terbuka dan bukan hanya di dalam kem atau pusat latihan tentera,

“Biar dilakukan seperti ini, agar lebih ramai yang boleh hadir dan rakyat boleh tahu apa yang tentera itu ada,” ujarnya lagi. -airtimes.my

#HTD91 #TDM #airtimes #pertahanan #segamat

Related Articles

Leave a Reply