Home Diskusi Kolumnis: Ancaman kumpulan pengganas antarabangsa pasca Perang Palestin-Israel terhadap Asia Tenggara

Kolumnis: Ancaman kumpulan pengganas antarabangsa pasca Perang Palestin-Israel terhadap Asia Tenggara

by MOHD SHAHIDAN SAHARUDDIN

Pada 8 November 2023, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi telah mengeluarkan kenyataan mengenai kumpulan pengganas Daesh dan Al Qaeda kekal sebagai ancaman utama Malaysia dan antarabangsa. Kenyataan ini turut dinyatakan oleh Singapura pada 26 Julai 2023 bahawa Asia Tenggara masih menjadi sasaran dan terdedah kepada pengganas dan radikalisasi. Dua kenyataan dari Malaysia dan Singapura ini dilihat memiliki objektif yang sama iaitu memerangi keganasan namun kenyataan Singapura dibuat sebelum meletusnya Perang Palestin-Israel yang berlaku pada 7 Oktober 2023. Manakala kenyataan Malaysia adalah selepas meletusnya perang Palestin-Israel.

Kenyataan Malaysia adalah jelas menunjukan ia adalah respon semasa dan memiliki perkaitan dengan situasi peperangan di Gaza Palestin. Manakala kenyataan Singapura telah memberikan amaran kepada pengganas antarabangsa dan masalah radikalisasi. Justeru apakah signifikan peperangan Palestin-Israel dengan kenyataan kedua-dua negara? Perang Palestin-Israel adalah memiliki potensi yang bakal membawa kesan kepada Sphere Of Influence daripada peperangan terhadap Israel kepada kumpulan pengganas antarabangsa. Ia akan membuka ruang kepada teori Power Vacuum untuk kumpulan pengganas antarabangsa menggunakan platform dan sentimen anti Israel dan AS serta negara penyokong Israel. Sama ada ia adalah kesan langsung atau diambil kesempatan oleh kumpulan pengganas antarabangsa untuk meningkatkan serangan ke atas aset atau elemen yang berkaitan dengan AS dan Israel yang tidak hanya di Timur Tengah sebaliknya mampu merebak ke seluruh dunia khususnya rantau Asia Tenggara, Asia Tengah, Asia Selatan dan Afrika.

Mengapa hanya sebilangan rantau lebih menjadi sasaran kumpulan pengganas antarabangsa mengapa tidak menyasarkan AS, Eropah, negara Oceania dan wilayah lain berbanding rantau di Asia? Pastinya geopolitik dan budaya hidup masyarakat di rantau Asia memiliki faktor yang membawa kepada penumpuan kumpulan pengganas antarabangsa. Ini kerana negara AS dan Barat memiliki tahap kemajuan, peradaban, pendidikan, budaya hidup dan sosial yang berbeza dengan negara Asia. Di Asia faktor keagamaan, nilai ketimuran (Asian Value) serta budaya hidup adalah elemen yang dieksploitasi oleh kumpulan pengganas antarabangsa yang memudahkan mereka membuat penyerapan ideologi serta memudahkan kumpulan pengganas antarabangsa untuk masuk sesebuah negara bukan hanya untuk melakukan serangan tetapi juga untuk menetap dan membuat perebakan serta merekrut ahli kumpulan pengganas sebagai pusat kegiatan keganasan. Ia adalah berbeza dengan sasaran di AS dan Barat yang mana kumpulan pengganas antarabangsa cenderong hanya melakukan serangan dan bertindak meninggalkan negara berkenaan dan sukar untuk kekal dalam tempoh yang panjang. Senario ini dapat dilihat contohnya serangan 11 September 2001, Al Qaeda membuat serangan dan bertindak keluar dari AS manakala serangan di Asia Tenggara kumpulan pengganas antarabangsa melakukan serangan dan kekal membuat penyebaran serta menjadikan negara berkenaan sebagai pusat penyebaran aktiviti keganasan.

Mengapa senario modus operandi serta kriteria pemilihan rantau oleh kumpulan pengganas antarabangsa berbeza antara Barat dengan Asia? Aspek yang jelas mempengaruhi senario ini adalah budaya hidup, geografi, ketamadunan, pendidikan serta faktor dalaman sesebuah negara merupakan antara aspek penting mempengaruhi serta menjadi daya penarik kepada kumpulan pengganas antarabangsa untuk mengambil kesempatan dan eksploitasikan bagi membolehkan kegiatan keganasan dilakukan. Bagi rantau Asia secara umumnya faktor agama, kerohanian serta nilai ketimuran menjadi aspek yang digunakan oleh kumpulan pengganas antarabangsa untuk menarik minat masyarakat dengan pelbagai eksploitasi nilai-nilai agama dalam menjustifikasikan tindakan keganasan sedangkan ia jelas bertentangan dengan ajaran sebenar agama. Kumpulan pengganas antarabangsa turut mengambil kesempatan mengadakan hubungan dengan gerakan ekstremis dan kumpulan radikal dalam sesebuah negara. Ini dapat dilihat dengan modus operandi Al Qaeda termasuk Daesh yang mengadakan hubungan dengan Jemaah Islamiah (JI) manakala JI turut mempengaruhi kelompok kecil kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas dari dalaman negara seperti Kumpulan Abu Sayaf, Daulah Islamiyah, kumpulan Jemaah Ansharut Daulah, kumpulan Katiba Tawhid Wal Jihad (KTWJ), Kumpulan Militan Malaysia dan sebagainya.

Apakah risiko ancaman yang bakal dihadapi oleh negara Asia Tenggara pasca perang Palestin-Israel atau eksploitasi peperangan ini kepada kumpulan pengganas antarabangsa? Pada 24 Mac 2023, Jabatan Keselamatan Dalam Negeri Singapura (ISD) menyatakan terdapat 600 warga Asia Tenggara yang memiliki perkaitan dengan kumpulan pengganas Daesh di Iraq dan Syria. Senario ini masih belum mengambil kira jumlah warga Asia Tenggara yang terlibat dalam ekstremisme dan radikal di Yaman, Pakistan, Afghanistan dan dari pusat penyebaran di dalam rantau Asia Tenggara sendiri. Golongan ini didedahkan dengan ideologi, penerapan fahaman ektremisme, diberikan latihan keganasan dan menjadi agen untuk merekrut ahli dari negara sendiri dan negara asing. Golongan ini akan membentuk “jambatan kepada rangkaian keganasan global” dan mampu membentuk sel atau kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas di negara masing-masing yang akan memberikan ancaman keselamatan kepada rakyat, kestabilan dan keamanan negara. Senario ini adalah realiti yang berlaku kepada beberapa negara di Asia Tenggara seperti Indonesia, Filipina, Thailand dan Malaysia yang turut menjadi sasaran kumpulan pengganas antarabangsa untuk masuk dan melakukan tindakan sama ada melakukan serangan, merekrut ahli, menyembunyikan diri, membina jaringan keganasan dan sebagainya.

Adalah malang apabila kegiatan keganasan ini dikaitkan dengan Islam. Malah lebih malang apabila Barat melihat Islam itu sebagai simbol keganasan kesan daripada tindakan kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas ini. Persoalan yang timbul adalah adakah ajaran kumpulan ekstremis, radikal dan pengganas tempatan dan antarabangsa ini merupakan ajaran Islam?    Dalam konteks Islam yang sebenar telah melarang dan menolak umat Islam melakukan perbuatan yang melampau (Guluw) yang tercatat dalam Al-Quran.

Katakanlah: “Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam ugama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul” (Al-Quran Surah Maidah :77)

Malah Rasulullah S.A.W turut memberikan peringatan mengenai kemunculan golongan Khawarij.

Yusair bin Amru mengatakan, aku bertanya kepada Sahal bin Hunaif: “Apakah engkau mendengar Nabi SAW bersabda tentang Khawarij? Ia menjawab: Aku mendengar beliau bersabda – sambil beliau arahkan tangannya menuju Iraq – Dari sanalah muncul sekelompok kaum yang membaca al-Qur’an tidak melebihi kerongkongan mereka, mereka keluar dari Islam sebagaimana anak panah keluar dari busurnya.Riwayat al-Bukhari (Sahih Bukhari No.6934)

Pada 25 September 2014, terdapat lebih kurang 126 orang ulama Muslim dari seluruh dunia telah menandatangani dan membuat kenyataan secara bersama yang dibacakan oleh Presiden Council on American Islamic Relations (CAIR) iaitu Nihad Awwad yang menolak Islamic State (IS) dan ajaran khilafah yang diumumkan oleh IS. Secara umum para ulama Ahli Sunnah Wal-Jamaah telah bersepakat di seluruh dunia mengenai tindakan, fahaman dan ajaran Daesh/IS, dan kumpulan pengganas serta merupakan penyelewengan agama dan sesat. Ia merupakan tindakan yang bukan daripada ajaran Islam yang sebenar. Justeru, umat Islam perlu melihat bahawa tindakan keganasan dan kumpulan pengganas sama ada tempatan dan antarabangsa adalah bukan dari Islam. – airtimes.my

#AirTimes #Malaysia #Kolumnis #Diskusi

Related Articles

Leave a Reply