ALOR SETAR, 10 Dis – Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) tidak menetapkan sebarang kuota bagi pengambilan juruterbang wanita, kata Panglima Tentera Udara, Tan Sri Mohd Asghar Khan Goriman Khan.
Beliau berkata, wanita mempunyai peluang yang cukup luas untuk menyertai TUDM sebagai juruterbang dan mereka hanya perlu memenuhi syarat serta kelayakan, selain melepasi ujian ditetapkan.
“Pembabitan wanita sebagai juruterbang bergantung kepada kemasukan dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM), mereka harus lulus kelayakan, pemeriksaan kesihatan 100 peratus seperti kami kehendaki dan lulus semua ujian altitud yang diperlukan.
“Semua sama untuk lelaki dan wanita, tiada diskriminasi. Jadi, siapa yang layak, menepati syarat dan lulus dalam ujian penerbangan, dia layak dan itu baik untuk dia,” katanya selepas Upacara Penyampaian Sayap Penerbangan Kursus Asas Penerbangan Siri 84/22 dan Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 64/22 di Kolej Tentera Udara, semalam.
Seramai 26 pelatih Institut Penerbangan 1 (INSPEN 1) dan INSPEN 2 membabitkan 18 pelatih juruterbang pesawat sayap kaku dan lapan pelatih juruterbang helikopter, menerima sayap penerbangan masing-masing pada majlis itu.
Mohd Asghar Khan turut menggesa wanita yang melanjutkan pengajian peringkat ijazah di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) atau institusi pengajian tinggi lain supaya menyertai ATM.
Beliau berkata, pada masa ini, kemasukan wanita dalam pasukan pertahanan negara masih rendah dan golongan itu dialu-alukan menyertainya yang turut menawarkan pelbagai bidang lain termasuk kejuruteraan serta mekanikal.
“Kita menerima banyak permohonan memasuki ATM termasuk graduan UPNM, tetapi ada sesetengah bidang yang diperlukan seperti bahagian undang-undang contohnya, kita ambil graduan daripada universiti lain,” katanya. – Bernama
#TUDM #ATM #juruterbang #wanita #airtimes #pertahanan