JOHOR BAHRU, 13 OKT – Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) mengarahkan masjid dan surau di negeri itu agar mengadakan solat hajat dan membaca qunut nazilah, iaitu doa yang dibaca dalam usaha memohon perlindungan dan kesejahteraan semasa bencana, khusus untuk rakyat Palestin.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata kerajaan negeri Johor mengutuk sekeras-kerasnya serangan dan tindakan kejam rejim Zionis Israel terhadap rakyat dan tanah Palestin.
“Bumi Gaza kini bergelap, sudah tiada bekalan elektrik. Penindasan ke atas rakyat Palestin diteruskan oleh rejim Zionis,
“Pembantaian dan pembunuhan umat seakidah dan tauhid dengan kita secara terang-terangan ini menuntut penyatuan suara dan doa Malaysia termasuk Bangsa Johor.
“Ini bukan isu agama… ini bukan isu kepercayaan… ini isu kemanusiaan!
“(Justeru) kita menyeru seluruh umat Islam di Johor khasnya, memperbanyakkan doa keselamatan dan kesejahteraan kepada saudara-saudara kita di bumi Palestin,” katanya menerusi hantaran di laman Facebooknya hari ini.
Pertempuran di Palestin yang melibatkan Hamas, pihak berkuasa di Gaza, dan rejim Israel sejak 7 Okt lepas telah mengakibatkan kehilangan ribuan nyawa di kedua-dua belah pihak.
Menurut Kementerian Kesihatan Palestin hari ini, jumlah kematian di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat telah mencapai 1,567 orang dengan lebih 7,000 cedera. – BERNAMA
#Malaysia #Semasa #Johor #Gaza