KUALA LUMPUR, 5 OKT – Walaupun dianggap sebagai jet pejuang canggih dan moden mengikut peredaran zaman, isu yang membelenggu F-35C telah memberikan kesan tersendiri kepada kekuatan udara Tentera Laut Amerika Syarikat (US Navy).
Baru-baru ini, tahap kesiagaan F-35C yang rendah serta kos pengoperasian yang tinggi menyebabkan angkatan laut negara kuasa besar itu mengalami kekangan dari segi kekuatan udara.
Tambahan pula, isu alat ganti yang sukar untuk didapati memberikan masalah kepada tahap kesiagaan dan sudah tentu memberikan kesan buruk kepada US Navy sekiranya sesuatu tidak diingini berlaku.
Mahu tidak mahu, US Navy perlu meneruskan pengoperasian F/A-18 Super Hornet, yang sepatutnya diambil alih oleh F-35C.
Melihat kepada siri kontrak yang dikemukakan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat, US Navy pada ketika ini sedang melaksanakan usaha untuk memanjangkan jangka hayat F/A-18 Super Hornet.
Perkara ini perlu dilaksanakan memandangkan pengeluar jet pejuang tersebut, Boeing dijangka menamatkan pengeluaran dalam beberapa tahun lagi. Walaupun masih mampu untuk diteruskan sehingga ke 2027, pengeluaran akhir F/A-18 Super Hornet untuk US Navy adalah pada tahun 2025 dan Boeing tidak berjaya mendapatkan kontrak perolehan baharu dari pelanggan antarabangsa.
Keadaan ini diburukkan lagi dengan keputusan New Delhi untuk memperolehi Rafale M dan bukannya Super Hornet.
Semenjak Mac hingga September, US Navy telah menganugerahkan 16 kontrak kepada beberapa pembekal. Antaranya membekalkan alat ganti, komponen, baikpulih pesawat dan sistem avionik serta radio.
Sebagai contoh, Boeing telah dianugerahkan kontrak membekal radom untuk digunakan pada F/A-18 E/F. Syarikat itu juga turut diberikan kontrak baik pulih gear pendaratan pesawat dan juga avionik.
Pada April lalu, syarikat itu juga turut dianugerahkan kontrak untuk melanjutkan jangka hayat 25 buah F/A-18 EF dan memasang avionik yang mempunyai keupayaan Block III.
Syarikat Raytheon pula akan membekalkan penderia dan peralatan yang boleh dipadankan dengan blok perisian pesawat.
Secara keseluruhan, US Navy telah berbelanja sebanyak US$13 bilion bagi kesemua 16 kontrak tersebut. – airtimes.my
Tentera Laut Amerika Syarikat anugerah beberapa kontrak untuk tingkat upaya dan panjangkan jangka hayat operasi F/A-18 Super Hornet.
#AirTimes #TeknologiPertahanan #SuperHornet