Home Pertahanan dan Keselamatan #Pertahanan: Tentera dari 3 negara ganding bahu, kerah tenaga 24 jam bina kemudahan air pelajar sekolah

#Pertahanan: Tentera dari 3 negara ganding bahu, kerah tenaga 24 jam bina kemudahan air pelajar sekolah

by M.Daim

KUANTAN, 14 SEPT – Anggota tentera dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Malaysia telah berganding bahu untuk melaksanakan Projek Pembaikan Tangki Air di Sekolah Kebangsaan Pandan, Kuantan.

Pembinaan ini merupakan sebahagian daripada elemen Eksesais Pacific Partnership yang sedang berlangsung di Pahang melalui Engineering Engagement.

Air Times baru-baru ini berkesempatan untuk melihat sendiri usaha yang digembleng oleh anggota tentera laut dari Amerika Syarikat dan Korea Selatan bersama Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD)

Anggota dari RAJD bersama peugas kejuruteraan Tentera Laut Amerika Syarikat (kanan) sedang meneliti persiapan kerja pembinaan tangki air sekolah. Foto: Air Times/M.Daim

Difahamkan menara tangki air setinggi 50 kaki sekolah tersebut mengalami kerosakan akibat dipanah petir.

Ketika meninjau projek tersebut, Komander Misi Pacific Partnership 2023, Captain Claudine Caluori menyatakan usaha ini merupakan satu pengalaman berharga bagi pihaknya dan juga yang terlibat.

Komander Misi Pacific Partnership 2023, Captain Claudine Caluori ketika ditemui Air Times semasa meninjau projek pembinaan tangki air sekolah bersempena latihan multilateral di Kuantan. Foto: Air Times/ Pasri

“Ia merupakan satu pengalaman yang luar biasa apabila kita berjaya mengumpulkan tenaga dari pelbagai negara untuk berusaha ke arah satu matlamat yang sama,

“Anggota tentera dari Malaysia, Korea Selatan, dan Amerika Syarikat telah berganding bahu dalam projek ini,

“Ia bagi membolehkan kita untuk membina menara tangki air untuk kemudahan kepada pelajar,” katanya kepada Air Times.

Menurut beliau, projek pembinaan ini telah bermula semenjak 2 minggu lalu dan akan memulihkan bekalan air kepada 1,500 warga sekolah.

Walaupun mungkin tugas yang agak ‘remeh; pada pandangan sesetengah pihak, penglibatan anggota tentera dari pelbagai negara yang berganding bahu untuk mencapai satu matlamat adalah satu perkara yang amat besar nilainya. Foto: AirTimes/M.Daim

Sementara itu, Lieutenant Jesse An dari Amphibious Construction Battalion One menyatakan pelbagai gerak kerja telah dilaksanakan bagi memastikan projek ini berjalan dengan lancar.

“Kumpulan kerja kami terbahagi kepada 2 kumpulan dan bekerja secara bergilir setiap 12 jam,” katanya.

Menurut beliau, penugasan kumpulan pertama adalah bermula pada pukul 8 pagi sehingga 8 malam sebelum digantikan oleh petugas seterusnya yang akan bekerja sehingga 8 pagi keesokan hari.

Beliau menyatakan rasa bangga dan gembira kerana dapat mencurahkan tenaga dalam projek ini.

“Pembinaan tangki air baharu ini sudah tentu memberikan penambahbaikan dari segi kemudahan air kepada pelajar di sekolah ini,

“Ketiadaan tangki air sebegini sudah tentu menjejaskan para pelajar dan guru di sekolah ini,” katanya.

Lieutenant Jesse An dari Amphibious Construction Battalion One menyatakan gerak kerja pembinaan tangki air telah bermula semenjak 2 minggu lalu. Foto: AirTimes/ Pasri

Dalam pada itu Leftenan Danial dari RAJD menyatakan kerjasama dari ketiga-tiga negara mampu untuk menyelesaikan projek tersebut dalam masa yang ditetapkan.

“Memang kerja ini melibatkan pengiliran tugas di antara anggota tentera dari Amerika Syarikat, Korea Selatan dan Malaysia,

“Walaupun agak penat, ia merupakan satu pengalaman menarik kerana kita bergabung dengan orang luar (untuk menyelesaikan projek ini),

Penglibatan dalam projek pembinaan tangki air sekolah membuka peluang kepada pertukaran kemahiran dan kepakaran – Leftenan Danial, RAJD. Foto: Air Times/Pasri

“Pada masa yang sama, kita belajar dan bertukar pengalaman di antara satu sama lain,” katanya kepada Air Times.

1st Class Private Jeong Ji-won dari Tentera Laut Korea Selatan menjelaskan rasa suka cita kerana dapat menyertai projek ini.

Beliau baru sahaja menyertai angkatan laut negara itu semenjak 6 bulan lalu.

Tangki air baharu yang akan dipasang sebaik sahaja kerja baik pulih menara akan siap. Foto: Air Times/Badang

“Kami dari Tentera Laut Korea Selatan amat berbangga kerana dapat berganding bahu dalam projek ini,” katanya.

Liputan ke Projek Pembaikan Tangki Air di Sekolah Kebangsaan Pandan merupakan salah satu aktiviti Hari Media Eksesais Pacific Partnership.

Air Times berpeluang melakukan liputan eksklusif kepada beberapa aktiviti lain termasuk vaksinasi haiwan ternakan dan latihan bersama yang diadakan bersempena eksesais ini.

Walaupun baru sahaja berkhidmat dalam dunia ketenteraan, 1st Class Private Jeong Ji-won dari Tentera Laut Korea Selatan menyatakan rasa bangga kerana terlibat dalam projek ini. Foto: Air Times/Badang

Eksesais Pacific Partnership merupakan latihan ketenteraan yang memberikan fokus kepada misi menyelamat dan bantuan bencana anjuran Tentera Laut Amerika Syarikat.

Kumpulan misi latihan yang memasuki tahun ke-18 ini melibatkan beberapa buah negara termasuk Australia, Kanada, Chila, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Malaysia merupakan hentian ketiga misi selepas Vietnam dan Korea Selatan. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply