Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Mungkinkah Indonesia bakal miliki JASSM dengan kehadiran F-15EX?

#TeknologiPertahanan: Mungkinkah Indonesia bakal miliki JASSM dengan kehadiran F-15EX?

by M.Daim

FLORIDA, 10 SEPT – Jet pejuang F-15EX kini sah berupaya untuk melancarkan misil kruis AGM-158 (Joint Air-to-Surface Standoff Missile, JASSM).

Perkara tersebut telah disahkan oleh pihak Tentera Udara Amerika Syarikat (U.S Air Force, USAF).

JASSM merupakan misil standoff yang dihasilkan oleh Lockheed Martin.

Pihak USAF melalui 53rd Wing berkata, JASSM telah dilancarkan dari jet pejuang F-15EX yang dikendalikan oleh 85th Test and Evaluation Squadron (85th TES)

Sebelum ini, USAF telah menguji keupayaan F-15EX untuk membawa 12 misil udara-ke-udara AMRAAM bagi tujuan penguasaan udara.

“Keupayaan untuk melancarkan 3 JASSM selepas ujian penguasaan udara dengan 12 AMRAAM menunjukkan F-15EX mempunyai keupayaan yang luar biasa,” kata Mejar Calvin Conner, Komander bahagian F-15 dari 85th TES dalam satu kenyataan.

Pengunaan AMRAAM oleh F-15EX Eagle II membolehkan jet pejuang tersebut berupaya untuk melaksanakan penguasaan udara.

Ujian penembakan JASSM itu  merupakan sebahagian daripada fasa pertama ujian dan penilaian bersepadu pada F-15EX.

Menurut kenyataan itu, fasa ini turut menyaksikan penglibatan F-15EX dalam eksesais berskala besar.

Ini merangkumi integrasi dengan jet pejuang generasi ke-5, ujian penembakan AMRAAM dan JASSM.

Jelas 53rd Wing, penembakan JASSM oleh F-15EX menandakan fasa pertama penilaian kepada jet pejuang keluaran Boeing itu telah tamat.

Indonesia pada akhir Ogos lalu telah membuka langkah ke hadapan dalam memperolehi pesawat pejuang baharu F-15 EX Eagle II daripada Boeing. Jakarta hanya perlu menunggu lampu hijau daripada Washington selepas termeterainya Memorandum Persefahaman antara kerajaan Indonesia dengan syarikat pengeluar terkemuka daripada Amerika Syarikat pada 22 Ogos lalu.

Fasa pertama ujian dan penilain integrasi F-15EX menyaksikan kejayaan penembakan misil AMRAAM.

F-15EX Eagle II Indonesia

Seperti yang kita sedia maklum, Indonesia kini sedang giat memperkuatkan pasukan tenteranya bagi menghadapi situasi tidak menentu di rantau ini.

Ia selari dengan kenyataan oleh Menteri Luar Singapura pada Mac lalu yang menjangkakan perbelanjaan pertahanan serantau akan meningkat dari masa ke semasa selepas peperangan berlaku di Eropah Timur.

Pun begitu, Indonesia sebelum ini telah pun lama merancang perolehan pertahanan mereka yang tersusun melalui rancangan strategik Kuasa Pokok Minimum atau Minimum Essential Force. Rancangan ini telah pun bermula seawal 2009 dan dilaksanakan secara berperingkat.

Pada ketika ini, rancangan MEF telah pun berada di ambang fasa ketiga untuk tempoh 2019-2024.

Menteri Pertahanan Indonesia, pada awal tahun 2023 telah memberikan bayangan bahawa pesawat tempur untuk Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) perlu dilaksanakan.

Dasaault Rafale, jet pejuang Perancis dilihat akan bergandingan dengan F-15EX Eagle II sebagai kayu pemukul utama TNI-AU.

“Ya (menambah pesawat pejuang) adalah satu keperluan, ya kami akan menambah pesawat pejuang Rafale dari Perancis, kemudian kami sedang berunding untuk menambah pesawat lain,” kata Prabowo seperti dilaporkan oleh media Indonesia.

Sehingga kini, Indonesia telah menandatangani kontrak perolehan 42 buah jet pejuang Dassault Rafale pada tahun 2022. Perolehan ini kemudiannya disusuli dengan pembelian 12 buah jet pejuang Mirage 2000-5 daripada Qatar dengan nilai US$792 juta.

Jakarta kemudiannya menambah kekuatan taring udaranya dengan hasrat pembelian 24 buah F-15EX Eagle II daripada Boeing.

Walaupun menunggu kebenaran daripada Kongres, pembelian Eagle II oleh Jakarta dilihat hampir pasti dengan melihat perkembangan hubungan Jakarta-Washington dan juga peranannya dalam menstabilkan keadaan semasa di Laut China Selatan.

JASSM taring hadapi ancaman penaklukan

Walaupun belum data teknik yang terperinci mengenai F-15EX dari segi teknikal dan persenjataan, Boeing sendiri telah memberikan bayangan bahawa pesawat ini mempunyai keupayaan tersendiri.

“F-15EX mampu untuk membawa muatan persenjataan yang tiada tandingan dan juga senjata canggih seperti peluru berpandu hipersonik,” kata Boeing.

Melihat ujian integrasi yang dilaksanakan oleh USAF, F-15EX kini sah mampu untuk menggunakan AMRAAM dan JASSM.

F-15J merupakan pesawat tempur utama yang dikendalikan oleh Jepun. Perolehan JASSM baru-baru ini adalah sebagai usaha Jepun untuk mengatasi ancaman penaklukan.

Amerika Syarikat sebelum ini telah memberikan kebenaran kepada Jepun untuk membeli sejumlah peluru berpandu JASSM dan JASSM-ER.

Dalam notis yang dikeluarkan oleh DSCA, penggunaan JASSM oleh Jepun adalah tidak terhad kepada F-15J. Melihat kepada inventori JASDF, Jepun turut mengoperasikan Mistsubishi F-2A dan F-35A/B.

Perolehan JASSM oleh Negara Matahari Terbit itu pada hakikatnya telah dirancang semenjak tahun 2019.

Ini bagi mengatasi ancaman penaklukan terhadap kawasan pulau terpencil oleh kuasa asing yang dikenalpasti oleh Tokyo.

JASSM merupakan misil serangan permukaan yang dikelaskan sebagai peluru berpandu kruis yang dilancarkan dari udara.

‘Taring baharu TNI-AU’

 F-15EX Eagle II merupakan model terkini untuk siri F-15EX. Menurut Boeing, ia merupakan pesawat baharu keluaran syarikat itu untuk menggantikan model F-15C. Ia merangkumi penambahbaikan dari segi keupayaan tempur, jarak penerbangan dan juga kelajuan.

Pembangunan F-15EX diketengahkan atas beberapa faktor. Antara sebab mengapa ia diberikan fokus adalah tamatnya kontrak perolehan F-22A Raptor dan F-15 yang sedia ada terutamanya model F-15C kian usang. Selain daripada itu, kelewatan pengeluaran F-35 turut menjadi antara sebab utama mengapa F-15EX diberikan perhatian oleh Pentagon.

Selain daripada itu, USAF turut menyokong pembangunan F-15EX kerana ia mempunyai kebersamaan dari segi komponen dan peralatan dengan model yang terdahulu. Selain daripada itu, fasiliti sedia ada turut berupaya menampun pengoperasian F-15EX.

AGM-158 JASSM mampu dilancarkan dari pelbagai jenis pesawat. Ini termasuk jet pejuagn F-16.

Malah, peralihan juruterbang, juruteknik, fasiliti dan peralatan sedia ada kepada Eagle II mampu dilaksanakan dengan cepat berbanding peralihan kepada F-35 yang mungkin memakan masa beberapa bulan.

Melihat laman rasmi Boeing, F-15EX bermula dengan penganugerahan kontrak oleh Jabatan Tentera Udara Amerika Syarikat kepada syarikat itu.

Kontrak yang bernilai US$1.2bilion ini merangkumi perolehan 8 buah F-15EX untuk USAF. USAF turut berhasrat untuk memiliki 76 buah pesawat ini melalui perancangan 5 tahun.

“F-15EX direka sebagai pesawat tempur utama kepada USAF untuk beberapa dekad yang akan mendatang,

“Pesawat ini mempunyai sistem seni bina terbuka (open system architecture) dan mempunyai keupayaan untuk membawa sistem persenjataan supersonik,” jelas Boeing di laman web mereka.

F-15EXII pengganda kepada kuasa udara TNI-AU

 Kawasan ruang udara dan perairan yang luas Indonesia sudah tentu menjadikan F-15EX Eagle II dilihat sebagai pilihan tepat oleh negara itu.

Pusat Hidro-Oseanografi TNI Angkatan Laut sebelum ini menyatakan negara itu mempunyai sekitar 17,000 pulau.

Dengan situasi semasa Laut China Selatan dan juga perkembangan di Second Thomas Shoal (Ayungin Shoal) di Filipina, Indonesia sudah pasti perlu mengambil langkah berjaga-jaga dalam mempertahankan kedaulatan mereka.

Bagi yang mengenali dan memahami negara terbesar dalam keanggotaan ASEAN itu, isu kedaulatan merupakan satu isu yang mustahak serta tidak boleh dijual beli.

Gambar tular di media sosial baru-baru ini memaparkan peta Laut China Selatan. Walaupun tiada penjelasan yang jelas, foto ini dirakam dalam satu latihan ketenteraan oleh Indonesia pada tahun 2021.

Tambahan pula, gambar tular di media sosial baru-baru ini menunjukkan peta Laut China Selatan dan dilihat sebagai pandangan Indonesia dalam menghadapi sebarang kemungkinan di perairan itu.

Melihat kepada perkembangan di Amerika Syarikat, pemilikan F-15EX Eagle II kepada TNI-AU bakal membawa kepada peningkatan kuasa udara Indonesia dari sudut penguasaan udara dan serangan permukaan.

Pun begitu, keputusan sama ada JASSM akan menjadi salah satu taring kepada F-15EX yang bakal dimiliki oleh Jakarta akan menjadi kenyataan – ia bergantung kepada keputusan Washington, seperti mana yang telah dilakukan oleh Amerika Syarikat dalam proses penjualan eksport senjatanya. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply