Home SemasaGlobal Indonesia perkukuh kekuatan udara, beli 42 buah jet pejuang Rafale

Indonesia perkukuh kekuatan udara, beli 42 buah jet pejuang Rafale

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 10 Feb – Indonesia dilaporkan memperkukuhkan kekuatan angkatan udara itu dengan melakukan pesanan 42 buah jet pejuang Rafale.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Angkatan Tentera Perancis, Florence Parly, hari ini.

“Rasmi, Indonesia memesan 42 buah Rafale,” kata Florence dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya.

Terdahulu, Parly hadir menyaksikan majlis menandatangani kontrak perolehan 42 buah jet pejuang Rafale di Jakarta antara Pengerusi Dassault Aviation dan Kementerian Pertahanan Indonesia.

Majlis tersebut turut disaksikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto.

Menurut Parly, kerjasama strategik antara kedua-dua negara telah memberikan faedah kepada hubungan pertahanan Paris-Jakarta.

Majlis menandatangani kontrak perolehan 42 buah jet pejuang Rafale dilaksanakan di Jakarta, hari ini.

Tambahnya, Perancis berbangga kerana terpilih untuk memberi sumbangan kepada modenisasi Indonesia yang memainkan peranan penting dalam ASEAN serta Indo-Pasifik.

“Kejayaan eksport terbaharu ini merupakan khabar baik kepada ribuan jurutera serta pekerja yang terlibat dalam menghasilkan Rafale,

“Penghasilan jet pejuang ini melibatkan lebih 400 syarikat kecil dan sederhana,” ujarnya.

Selain daripada itu, Parly mengesahkan Indonesia turut berminat untuk meluaskan kerjasama dalam kapal selam.

Sementara itu, pihak Dassault Aviation dalam satu kenyataan berkata, perolehan oleh Indonesia adalah merangkumi pakej yang komprehensif.

“Pakej ini merangkumi latihan, sokongan logistik di beberapa pangkalan udara Tentara Nasional Indonesia – Angkatan Udara (TNI-AU) dan pusat latihan simulator,” katannya.

Selain daripada itu, Dassault menyatakan industri pertahanan Indonesia akan mendapat faedah secara langsung dari perolehan ini.

“Faedah yang diperolehi bukan sahaja untuk sektor aeroangkasa, tetapi turut dalam bidang-bidang lain yang dikuasai oleh Dassault Aviation dengan rakan industri seperti Safran Aircraft Engines serta Thales,” katanya. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.

Related Articles

Leave a Reply