Home SemasaGlobal Selepas Perancis, giliran Amerika Syarikat tawarkan jet pejuang kepada Indonesia

Selepas Perancis, giliran Amerika Syarikat tawarkan jet pejuang kepada Indonesia

by M.Daim

KUALA LUMPUR, 11 Feb – Belum usai kisah perolehan 42 Rafale dari Perancis, Amerika Syarikat (AS) telah meluluskan penjualan 36 buah jet pejuang F-15ID kepada Indonesia.

Agensi Kerjasama Pertahanan Keselamatan (Defense Security Cooperation Agency, DSCA) AS dalam satu notis berkata, penjualan bernilai US$13.9bilion telah diluluskan oleh pihak Jabatan Negara AS.

Notis bertarikh 10 Feb menyatakan Indonesia telah menghantar permohonan pembelian 36 buah jet pejuang F-15ID dari AS.

“Rancangan penjualan F-15ID akan mempertingkatkan keupayaan cegah rintang Indonesia dalam domain udara da meritim dan kompleks,

“Indonesia tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk menyerap pesawat dan peralatan berkaitan dalam angkatan udara mereka,

“Rancangan penjualan ini tidak akan menganggu gugat keseimbangan ketenteraan di rantau terbabit,” kata notis itu.

Jelas DSCA, syarikat Boeing dilantik sebagai kontraktor utama dalam rancangan penjualan ini.

Selain daripada pesawat, pakej penjualan ini turut merangkumi sistem elektronik, sistem persenjataan, latihan dan kelengkapan lain termasuk perisian.

Namun begitu, rancangan penjualan ini masih belum direalisasikan kerana belum ada sebarang pemeteraian kontrak antara Indonesia dan Washington.

Jabatan Negara AS merupakan antara entiti penting yang memberikan kelulusan dalam sebarang perolehan kelengkapan pertahanan dan persenjataan dari Amerika Syarikat.

Semalam, Indonesia telah menandatangani perjanjian perolehan Rafale dari Perancis.

Dalam rangka perolehan tersebut, Indonesia akan menerima 6 buah Rafale dalam masa beberapa bulan, bergantung kepada aturan oleh Paris.

Sementara itu, Menteri Angkatan Tentera Perancis, Florence Parly dalam satu hantaran di akaun media sosial rasminya menyatakan Indonesia telah memesan 42 buah jet pejuang Rafale. – airtimes.my

Notis peringatan: Artikel dan berita eksklusif Air Times News Network tidak dibenarkan untuk diulang terbit, ulang siar, dan dicetak. Penggunaan sebagai konten Youtube termasuk skrip turut dilarang sama sekali.

Related Articles

Leave a Reply