Home Pertahanan dan Keselamatan APMM tahan 2 kru bot nelayan warga Myanmar kaut hasil negara

APMM tahan 2 kru bot nelayan warga Myanmar kaut hasil negara

by Nurulhuda

KUALA KURAU, 11 Feb – Dua kru warga Myanmar ditahan bersama 100 kilogram hasil ikan di perairan Pulau Kelumpang, Perak pada Rabu.

Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kuala Kurau, dalam hantaran di media sosialnya berkata, rondaan anggota sekitar jam 8.30 malam itu berjaya mengesan dan menahan sebuah bot nelayan gentian kaca tersebut di kedudukan 12.6 batu nautika barat daya Pulau Kelumpang.

Pengarah APMM Kuala Kurau, Komander Maritim Mohd Sharenliza Ghazali berkata, bot ronda APMM telah mengesan bot suspek dalam keadaan mencurigakan sedang bergerak dan diberhentikan untuk tujuan pemeriksaan.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan seramai 2 kru termasuk tekong berada di atas bot terbabit dan kesemua mereka merupakan warga Myanmar berumur lingkungan 24 dan 35 tahun,

“Pemeriksaan lanjut mendapati, kesemua suspek tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah dan suspek juga gagal mengemukakan dokumen kebenaran penggunaan kru warga asing oleh Ketua Pengarah Perikanan Malaysia,” jelasnya.

Selain itu, Mohd Sharenliza menjelaskan, bot yang digunakan suspek juga tidak diusahakan sendiri oleh pemilik asal dan kuasa kuda enjin yang digunakan oleh bot suspek tidak sama sepertimana yang didaftarkan di dalam lesen vesel.

“Sebanyak 100 kilogram hasil ikan baja turut ditemui semasa pemeriksaan ke atas bot dilakukan,

“Kesemua suspek, bot, peralatan menangkap ikan dan hasil ikan baja dibawa ke Jeti APMM Kuala Kurau untuk tindakan lanjut,” tambahnya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985, Seksyen 14(2)(a) dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, kerana tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.-airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!