Home Teknologi Pertahanan #TeknologiPertahanan: Indonesia sahkan pembelian 24 buah pesawat tempur F-15EX perkasakan tentera udara

#TeknologiPertahanan: Indonesia sahkan pembelian 24 buah pesawat tempur F-15EX perkasakan tentera udara

by Zaki Salleh

ST LOUIS, 22 Ogos – Indonesia menterjemahkan kesungguhannya untuk menjadi angkatan tentera antara yang digeruni di rantau Asia Tenggara apabila terus memperkasakan pemodenan pertahanan.

Republik tersebut menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi perolehan 24 buah pesawat tempur F-15EX yang bakal menjarakkan kemampuan udaranya.

Ia dimeterai antara Ketua Agensi Infrastruktur Pertahanan, Kementerian Pertahanan Indonesia, Marshal Udara Yusuf Jauhari dan Naib Presiden Pengarah dan Pengurus Program Boeing Fighters, Mark Sears.

MoU ini ditandatangani ketika lawatan Menteri Pertahanan Indonesia, Prabowo Subianto ke kilang pesawat F-15 di St Louis, Amerika Syarikat (AS).

Menerusi MoU ini, Indonesia kini selangkah untuk menjadi pengguna pesawat tempur antara paling canggih di dunia ini yang mana fasa seterusnya ialah menunggu kelulusan daripada kerajaan AS.

Berita pembelian tersebut turut dikongsi Prabowo dalam laman media sosial Twitter beliau.

Ini bermakna Indonesia akan menyertai Singapura sebagai pengguna pesawat F-15 di rantau Asia Tenggara.

Singapura lebih awal memiliki pesawat canggih ini apabila menandatangani kontrak AS$1.6 bilion dengan Boeing untuk 12 pesawat pejuang F-15SG.

Ia bagi menggantikan pesawat tempur A-4SU Super Skyhawk RSAF yang telah ditamatkan perkhidmatan pada Disember 2005.

Pesawat F-15SG yang pertama telah dilancarkan pada November 2008 dan dihantar pada Mei 2009.

Seterusnya Singapura memesan empat F-15SG tambahan dan menggunakan pilihan untuk lapan pesawat lagi pada Oktober 2007 sebagai sebahagian daripada kontrak asal.

RSAF mengisytiharkan keupayaan operasi penuh pesawat pejuang F-15SG pada September 2013.

manakala kumpulan terakhir lapan pesawat diterima antara 2016 dan Julai 2017.

Perolehan 40 buah pesawat F-15SG menjadikan Singapura sebagai negara pengguna kelima terbesar pesawat ini selepas Israel, Jepun, Arab Saudi dan Korea Selatan.

Prabowo sejak tahun lalu menegaskan kesungguhan Indonesia untuk melaksanakan perolehan pesawat F-15 dan menunggu persetujuan akhir daripada pemerintah.

Pihak Boeing juga dikatakan telah bersetuju dengan tawaran kaedah pembayaran menerusi pakej perolehanan yang ditawarkan berdasarkan perbincangan dibuat.

Pesawat tempur F-15EX yang bakal dibangunkan untuk Indonesia ini merupakan variasi baharu berasaskan pesawat F-15D.

Dari segi geopolitik, kontrak ini penting pada Boeing dan AS kerana ia akan mengukuhkan lagi kerjasama pertahanan dengan negara sekutunya di rantau ini.

Jabatan Negara AS membuat penentuan pada 10 Februari 2022 untuk meluluskan kemungkinan Penjualan Tentera Asing kepada Kerajaan Indonesia pesawat F-15ID.

Pada Jun lepas, Indonesia mengumunkan keputusan membeli 12 buah pesawat tempur terpakai Mirage 2000-5 milik Qatar bagi mengimbangi kekuatan tentera udaranya.

Perolehan bernilai AS$792 juta itu telah diluluskan Kementerian Kewangan Indonesia yang mana pesawat akan diterima dalam tempoh setahun.

Indonesia juga bakal menerima 18 buah pesawat  Dassault Rafale buatan Perancis menerusi kontrak yang ditandatangani pada Februari tahun lalu. – airtimes.my

Related Articles

Leave a Reply

error: Content is protected !!